Isnin, 23 Ogos 2010

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Dan Bulan Kemerdekaan

Salam Ramadhan dan Salam Merdekaan yang ke-53 buat negara kita yang tercinta Malaysia, tanah tumpah darahku. Syukur alhamdulillah diucapkan kepadaNya, semoga bulan ini penuh dengan keberkatan kepada seluruh umat manusia. Dengan rasa yang amat bersyukur kepada Allah swt, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Dan Bulan Kemerdekaan kepada seluruh warga Kraftangan dan rakyat Malaysia khasnya.

Isnin, 16 Ogos 2010

Lawatan Sambil Belajar Pelatih Latihan Jangka Pendek (LJP 2010) Ke Kompleks Kraf KL & IKN

Peserta Latihan Jangka Pendek (LJP 2010) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan Institut Kraf Negara (IKN) pada 30 & 31 Julai 2010. Kesempatan lawatan ini para pelatih dapat merasai suasana Program Promosi Kerja Kahwin yang kebetulan berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Ahad, 15 Ogos 2010

Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan (JKPKPKK) Negeri Kelantan Bil. 16 / 2010

Pada 8 Ogos 2010, telah diadakan Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan (JKPKPKK) Negeri Kelantan bertempat di Bilik Mesyuarat Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh TUAN AB. HAMID BIN TUAN DAUD, Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Kelantan yang telah dihadiri oleh semua agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Rabu, 11 Ogos 2010

Ambang Ramadan

Sempena Kedatangan Bulan Ramadan Al-Mubarak ini telah diadakan sesi ceramah agama yang bertajuk "Ambang Ramadan" yang telah disampaikan oleh Ustaz Shaary Bin Awang Isa dari Majlis Agama Islam Kelantan. Selain itu, Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Caw. Kelantan turut menyumbang kurma ke pada ahli-ahli kelab. Selamat menyambut Bulan Ramadan kepada semua muslimin dan muslimat.

Selasa, 10 Ogos 2010

Bengkel Bimbingan Teknikal Anyaman Rotan Produk Mangkuk Tingkat

Dari 28 Julai hingga 1 Ogos 2010 Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengadakan Bengkel Bimbingan Teknikal Anyaman Rotan Produk Mangkuk Tingkat bertempat di Bengkel SDSI Anyaman Rotan, Kampung Gelang Mas, Pasir Mas. Para peserta seramai 16 orang penganyaman rotan dari sekitar Kampung Gelang Mas, Pasir Mas telah menyertai bengkel ini selama 5 hari yang dibimbing oleh tenaga pengajar Puan Kamsiah bt Md. Kassim dan pembantunya Puan Maznah Bt Sahhari dari Syarikat Sabenar Sinar Enterprise, Alor Gajah, Melaka.

Khamis, 5 Ogos 2010

Inovasi Mini Steamer

Pada 1 Ogos 2010, satu mesyuarat mengenai "Inovasi Mini Steamer" telah diadakan dengan kehadiran bersama syarikat perunding dari Eyetech Engineering & Trading. Pada mesyuarat kali ini pihak syarikat perunding telah membentangkan rekaan Mini Steamer yang terbaru dengan ciri-ciri penambahbaikan hasil dari idea asal pihak Kraftangan Malaysia. Idea Mini Steamer muncul bila mana pihak Kraftangan Cawangan Kelantan sedang menjalankan Kajian Batik Mesra Alam. Steamer ini berfungsi untuk mematikan warna pada kain tanpa perlu menggunakan lagi bahan kimia Silicate sebaliknya menggunakan wap sebagai egen pemati warna.