Selasa, 23 November 2010

Bengkel Bimbingan Teknikal Anyaman Buluh Dan Mengkuang Di Kampung Sengwai, Lojing Gua Musang

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Caw. Kelantan telah mengadakan Bengkel Bimbingan Teknikal Anyaman Buluh dan Mengkuang sempena Program Merakyatkan Seni Dan Budaya di Kampung Sengwai, Lojing Gua Musang pada 24 – 26 Oktober 2010 untuk fasa pertama. Untuk fasa kedua, bengkel bimbingan teknikal tersebut telah dilanjutkan dari 27 oktober sehingga 03 November 2010 kerana mendapat sambutan dari penduduk tempatan. Seramai 35 orang peserta dari penduduk orang asli Kampung Sengwai menyertai bengkel ini. Di akhir bengekl para peserta telah berjaya menyiapkan produk tikar mengkuang dan bakul buluh atas bimbingan 2 orang tenaga pengajar dan 2 orang pembantu yang telah dilantik oleh Kraftangan Kelantan

Isnin, 1 November 2010

Kajian Penghasilan Warna dari Sumber Alam

     Pewarnaan semulajadi adalah warna yang dihasilkan dari bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan yang terdiri dari daun, bunga, akar, kulit, buah dan sebagainya. Bahan pewarna semulajadi ini merupakan bahan alternatif di dalam proses pembatikan bagi menggantikan pewarnaan sintetik yang diperbuat dari bahan kimia. Sebelum bahan pewarnaan kimia wujud di pasaran, pewarnaan semulajadi memainkan peranan utama di dalam pewarnaan batik. Justeru itu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dibawah Unit Kajian Teknologi mengorak langkah menjalankan penyelidikan berkaitan pewarnaan asli khususnya untuk industri batik.

     Bermula pada tahun 2005 hingga 2006 penyelidikan dijalankan untuk menghasilkan pewarnaan asli terus dengan kaedah rebusan daun. Sebanyak 18 warna berjaya dikeluarkan dari daun cempedak dan gajus. Pada tahun 2007 berikutnya, penyelidikan diteruskan lagi untuk menghasilkan permati warna asli bersumberkan air kapur dan air limau nipis bagi menggantikan permati warna kimia. Sebanyak 33 warna berjaya dikeluarkan dari daun kapal terbang dan kari. Pada tahun 2008 hingga 2009, penyelidikan diteruskan lagi dengan penghasilan pewarnaan asli dalam bentuk serbuk. Daun-daun seperti daun kari, mangga, nangka, kandis, kuinin, helikonia, pandan, halban, nam-nam, sentul, tembakau, sitam dan senduduk digunakan dan bahagian-bahagian tumbuhan lain seperti biji rambutan hantu, kulit kayu bakau dan kulit mengkudu turut diproses kali ini. Bahan-bahan ini dikeringkan dan diproses menjadi serbuk pewarna asli yang lebih mudah dibawa, mudah disimpan dan mudah disediakan.