Selasa, 22 Februari 2011

Majlis Maulud Nabi

Puspanita Kraftangan Cawangan Kelantan telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi pada 20 Februari 2011 lalu.Bersempena dengan majlis tersebut, majlis Bacaan Al-Quran turut diadakan bagi menyambut ketibaan bulan Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Bersama kita meningkatkan selawat ke atas baginda sebagai tanda memperingatinya dan menghayati kisah-kisah menarik Rasulullah yang boleh diambil iktibar dan renungan bersama. Antanya ialah:
1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina ‘Aisyah menceritakan “Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.”

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar.

Maka Nabi bertanya, “Belum ada sarapan ya Khumaira?” (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)

Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.” Rasulullah lantas berkata, “Jika begitu aku puasa saja hari ini.” tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?”

Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia.”

“Aku tidak bertanya alasanmu,” sahut Nabi s. a. w. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”

6) Pernah baginda bersabda, “sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.” Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

“Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?”

“Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.”

“Ya Rasulullah…mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit…” desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?” Lalu baginda menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?”

“Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”

8 ) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”

Jawab baginda dengan lunak, “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.”

Ahad, 20 Februari 2011

Pertandingan Bowling Warga Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan

Pada 18 Februari 2011 lalu, Kelab Sukan Dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan Pertandingan Bowling antara ahli-ahli Kelab bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara ahli. Pada pertandingan tersebut para peserta dibahagiakan kepada 5 Kumpulan, dan kiraan pemenang berdasarkan jumlah keseluruhan jatuhan pin terbanyak bagi setiap kumpulan. Pemenang bagi kategori individu turut diadakan dan hadiah disampaikan oleh Penasihat Kelab En Khamis Bin Yasim dan Pengerusi Kelab En Faizul Azha Bin. Ibrahim.

Ahad, 13 Februari 2011

Perhimpunan Bulanan Februari 2011

Perhimpunan bulanan februari telah diadakan pada 12 Februari 2011 yang lalu. Pada perhimpunan tersebut pengarah cawangan Kelantan En. Khamis Bin Yasim telah menyentuh beberapa perkara termasuklah kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, memperingati kakitangan supaya mematuhi peraturan masa bekerja, menggalakkan amalan budaya bantu-membantu dalam urusan kerja dan meminta setiap kakitangan mengemaskini fail meja dari semasa kesemasa.

Khamis, 10 Februari 2011

HARI KRAF KEBANGSAAN 2011


Kraftangan Malaysia mencatat sejarah buat kali ke-9 pada 23 Februari 2011 kerana mengadakan Hari Kraf Kebangsaan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dengan penuh kebanggaan atas hasilan kraf anak tempatan.

HARI KRAF KEBANGSAAN diadakan bagi tujuan memberi pengiktirafan ke atas sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam menggembangkan industri kraf dan menjana ekonomi negara. Penganjuran ini memberi kesedaran di kalangan masyarakat umum mengenai kewujudan pelbagai produk kraf tempatan dan kepelbagaian penggunaanya yang bukan sahaja sebagai hadiah dan cenderamata tetapi juga untuk kegunaan hiasan dalaman. Para usahawan dan penggiat kraf serta masyaraakat tempatan juga dapat mengetahui perkembangan terkini tentang teknologi, rekaan dan maklumat pasaran semasa industri kraf tempatan dalam usaha menggalakkan pertumbuhaan ekonomi negara.

Hari Kraf Kebangsaan 2011 pada kali ini bertemakan "KRAF MENJANA EKONOMI"
Semua dijemput dan masuk adalah PERCUMA.
Antara aktiviti yaang disediakan adalah seperti jualan kraf, pemeran & jualan produk baru kraf, pameran warisan kraf & edukraf, pameran teknologi, perjumpaan pembeli, apresiasi kraf, demonstrasi kraf, persembahan kesenian dan permainan rakyat.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-21627533 atau layari www.kraftangan.gov.my atau email kepada pro@kraftaangan.gov.my- SUMBER BHG. KOMUNIKASI KORPORAT

Kenaikan Pangkat dan Kakitangan Baru Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan

Tahniah diucapkan kepada En. Faizul Azha Bin. Ibrahim diatas kenaikan pangkat dan semoga dengan kenaikan pangkat ini dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Cawangan Kelantan ke arah yang lebih cemerlang.
Nama: Faizul Azha Bin. Ibrahim
Bahagian / Unit: Bahagian Usahawan
Jawatan / Gred Sedia Ada: Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi (E27)
Jawatan / Gred Baru: Pegawai Ehwal Ekonomi (E41)
Tarikh Lantikan: 1 Februari 2011

Sementara itu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan juga telah menerima anggota kerja baru iaitu En. Mohd Faisal Bin Ismail yang ditempatkan di Unit Teknikal. Selamat datang dan semoga bersama-sama meningkatkan mutu perkhidmatan Cawangan Kelantan.

Nama: En. Mohd Faisal Bin Ismail
Bahagian / Unit: Bahagian Teknikal
Jawatan / Gred :Pembantu Makmal (C17)
Tarikh Lantikan:1 Februari 2011