Isnin, 27 Jun 2011

Senamrobik Jun 2011

Pada 8.30 pagi 26 Jun 2011, Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan mengadakan aktiviti senam robik untuk semua warga PKKM Cawangan Kelantan. Semua kakitangan dan pelajar praktikal turut sama bersenam robik yang diadakan di gelanggang bola tampar dibimbing oleh jurulatih Pn Mardiana dan Pn Emma dari Persatuan Senam Robik Negeri Kelantan.

Isnin, 20 Jun 2011

Majlis Pelancaran Logo Sambutan 100 Tahun Batik Malaysia

   "Bangunkan produk memenuhi citarasa terkini pengguna agar lebih berdaya saing di pasaran global." Itu gesaan kepada semua pengusaha batik selain saranan tidak menggenakan harga tinggi terhadap produk mereka terutama sewaktu mengadakan promosi. Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali sewaktu merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pembatek Kelantan ke 38 dan Pelancaran Logo Sambutan Batik, 100 Tahun Malaysia berkata, pengusaha batik harus melakukan pembaharuan corak, warna dan rekaan agar batik keluaran mereka lebih menarik dan diterima pembeli. Mereka juga tidak harus terlalu bergantung kepada pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan produk mereka. Majlis pelancaran berlangsung di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan pada 16 Jun 2011 yang lalu.
   Dengan usia Industri Batik Kelantan yang telah mencecah 100 tahun, jumlah jualan batik tahun ini disasar mencapai RM150 juta, berbanding capaian jualan RM138 juta sepanjang 2009. Menurutnya, sambutan 100 tahun batek Kelantan November depan dijangka dirasmikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim. Sambutan bertemakan, Inovasi Batik 100 Tahun Menjana Inspirasi Keusahawanan, bakal mengumpulkan lebih 100 pengusaha batik dan antara pengisiannya ialah pameran sejarah dan batik kontemporari, gerai jualan dan sebagainya.

Ahad, 19 Jun 2011

Majlis Jasa Mu Dikenang, Sempena Persaraan En Khamis

Pada 16 Jun 2011 lalu, telah diadakan Majlis sempena persaraan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Encik Khamis Bin Yasim. Pada majlis tersebut, Yang Berbahagia Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Encik Mohd. Kamil Mohd. Ali turut hadir menyampaikan hadiah beserta kepada sumbangan Encik Khamis. Majlis ini sebenarnya merupakan kali kedua diadakan, setelah pertama kali diadakan pada 26 Mei 2011 yang lalu diperingkat cawangan. Beliau akan mula bersara pada 18 Jun 2011, telah berkhidmat selama 31 tahun dengan Perbadanan ini. Selama tempoh tersebut, beliau telah banyak menabur bakti kepada perkembangan Perbadanan Kraftangan Malaysia. Jutaan Terima Kasih diucapkan. Jasa Mu Dikenang.

Khamis, 16 Jun 2011

Lawatan Kerja Timbalan Ketua Pengarah Operasi

Pada 15 Jun 2011 lalu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, En Ramli Bin Mohd Noor bersama Pengarah Khidmat Pengurusan, En Mohd Mokhtar Bin Lop Ahmad dari Ibu Pejabat telah mengadakan lawatan kerja ke Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Dalam lawatan kerja tersebut, En Ramli dan En Mohd Mokhtar telah menyampaikan beberapa amanat penting kepada semua kakitangan Cawangan Kelantan agar terus memperkasakan fungsi Kraftangan Malaysia khususnya Cawangan Kelantan bagi memajukan lagi industri kraftangan di Malaysia.

Rabu, 8 Jun 2011

Penyerahan Bengkel Kraf di Kampung Sangwai, Post Brooke, Daerah Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Pada 1 Jun 2011, Pengarah Kraftangan Cawangan Kelantan, Encik Khamis Bin Yasim telah menyerahkan secara rasmi Bengkel Kraf bantuan Kraftangan Malaysia kepada Tok Batin, Encik Bidi Bin Ronggeng, di Kampung Sangwai, Post Brooke, Daerah Lojing, Gua Musang, Kelantan. Bengkel ini merupakan bantuan Kraftangan Malaysia kepada penduduk Kampung Sangwai dan telah mula dibina pada 11 April 2011.