Selasa, 26 Julai 2011

Lawatan Kerja Malaysia-German of Commerce and Industry (MGCC) ke Cawangan Kelantan

Pada 26 – 28 Julai 2011, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan kerja dari Malaysia-German of Commerce and Industry (MGCC). Lawatan kerja ini dibuat susulan daripada perbincangan pihak MGCC dengan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Kraftangan Malaysia dan UPEN Negeri Kelantan pada 15 Jun 2011 tempoh hari di Putrajaya berkenaan penerapan Konsep Pengeluaran Bersih (Cleaner Production) di dalam industri batik. Fokus utama lawatan ini adalah untuk pihak MGCC melihat sendiri dan mengumpul maklumat berkenaan sistem operasi pengeluaran batik di Kelantan. Pihak MGCC telah dibawa melawat ke kilang-kilang batik terpilih di negeri Kelantan.

Kursus Pencegahan dan Keselamatan Kebakaran

Pada 26 Julai 2011, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan Kursus Pencegahan dan Keselamatan Kebakaran yang telah dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Kota Darulnaim. Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada anggota kerja tentang pencegahan dan keselamatan kebakaran di bangunan, bagaimana menggunakan alat pemadan api mudah alih yang sediada dibangunan dan kaedah menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran.

Ahad, 24 Julai 2011

Senam Robik Julai 2011

Pada 8.30 pagi 24 Julai 2011, Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan acara senamrobik untuk semua warga PKKM Cawangan Kelantan. Aktiviti senamrobik ini telah diadakan di gelanggang bola tampar dibimbing oleh jurulatih Pn Mardiana dari Persatuan Senam Robik Negeri Kelantan.

Perlawanan Bola Sepak Persahabatan

KUBANG KERIAN, 23 Julai 2011 : Kelab Sukan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan satu perlawanan persahabatan menentang Wakaf baru FC yang berlangsung di Padang Bolasepak USM, Kubang Kerian. Semoga dengan aktiviti sihat seumpama ini akan mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan Kraftangan Malaysia dengan masyarakat setempat.

Rabu, 20 Julai 2011

Pusat Jualan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan

Pusat Jualan Kraf di Lot 1481, KM 3.6, Bunut Payong, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu merupakan pusat jualan pertama yang diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Ini memberi ruang kepada pengusaha dan penggiat seni kraf tempatan terutama di Kelantan untuk mempromosikan hasil produk mereka. Di samping dapat menggalakkan masyarakat menggunakan produk – produk hasil keluaran tempatan. Pusat Jualan ini juga, bakal dipenuhi dengan pengisian aktiviti utama seperti jualan, pameran, demonstrasi dan interaktif kraf tempatan. Tempat ini turut dimeriahkan dengan aktiviti sokongan berkaitan kraf seperti persembahan kesenian, aktiviti lawatan berpandu berkumpulan dan sebagainya. Pusat ini sudahpun dibuka dan telah menerima kunjungan dari orang ramai, malah turut menerima kunjungan dari ahli JKKK Felda Jengka 3 Pahang.

Isnin, 18 Julai 2011

HARI BERTEMU PELANGGAN KRAFTANGAN MALAYSIA 2011

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia 2011 serentak di seluruh cawangannya pada 12 Julai 2011. Di PKKM Cawangan Kelantan, Kira-kira 92 orang tetamu telah hadir untuk menjayakan program ini. Program ini dimulakan dengan taklimat korporat mengenai latar belakang dan peranan Kraftangan Malaysia yang telah disampaikan oleh Pengarah PKKM Cawangan Kelantan, Encik Faizul Bin Ibrahim dan disusuli dengan sesi dialog bersama usahawan yang hadir. Pada Hari Bertemu Pelanggan ini juga, 5 kaunter pelanggan turut dibuka kepada tetamu iaitu, kaunter Unit Promosi dan Pemuliharaan Kraf, Unit Teknikal, Pembangunan Rekaan, Pembangunan Usahawan dan Pentadbiran & Pengurusan.

Isnin, 11 Julai 2011

Program Karnival Pengajian Tinggi Pantai Timur 2011

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah mengadakan pameran korporat, interaktif kraf, jualan buku-buku kraf dan jualan produk kraf sempena Program Karnival Pengajian Tinggi Pantai Timur 2011 bertempat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri. Program ini bermula pada 30 jun sehingga 2 julai 2011 telah dirasmikan oleh YB Dato’ Saifuddin Bin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Aktiviti Interaktif Kraf mewarna batik dijalankan dalam 4 sesi sehari telah disertai seramai 360 orang peserta terdiri daripada para graduan dan kakitangan Universiti Malaya Kampus Nilam Puri, pelajar-pelajar sekolah, disamping para pengujung yang mengujungi tapak pameran tersebut.

Program Komuniti 1 Malaysia Bertempat di Taman Tengku Anis, Kota Bharu

Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengambil bahagian dalam Program Komuniti 1 Malaysia peringkat negeri Kelantan 2011 yang bertempat di Taman Perbandaran Tengku Anis pada 9 Julai 2011 (Sabtu), jam 9 pagi hingga 6 petang. Program ini merupakan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kelantan yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Hj. Mohamad Fatmi Che Salleh, Setiausaha Politik Perdana Menteri. Pada program ini, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengadakan pameran korporat dan interaktif mewarna batik. Seramai lebih kurang 60 orang menyertai aktiviti mewarna ini. Disamping itu Pemuliharaan kraf juga turut mengadakan jualan buku-buku berkaitan dengan kraf bagi memenuhi aktiviti tersebut.

Selasa, 5 Julai 2011

HARI BERTEMU PELANGGAN 2011 KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN KELANTAN

Tarikh : 12 Julai 2011 (Selasa)
Masa : 10 pagi - 5 petang
Tempat : Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Cawangan Kelantan





HARI BERTEMU PELANGGAN KRAFTANGAN MALAYSIA PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2011

Dimaklumkan bahawa Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia yang akan diadakan pada 12 Julai 2011 bermula dari jam 10 pagi hingga 5.00 petang. Program ini diadakan adalah bertujuan untuk:
  • Mendapatkan maklumbalas pengguna iaitu kraf berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia;
  • Mendapatkan cadangan bagi mengambil langkah-langkah penambahbaikan serta peningkatan mutu perkhidmatan Kraftangan Malaysia; dan
  • Untuk mengetahui dan mengukur keberkesanan perkhidmatan Kraftangan Malaysia kepada kumpulan sasar.
Aktiviti-aktiviti yang akan diadakan adalah seperti berikut :

1. Taklimat Korporat oleh Pengarah Negeri
2. Sesi Dialog bersama Usahawan Kraf
3. Kaunter Helpdesk
4. Kempen Penggunaan Laman Web Kraftangan Malaysia
5. Pengisian Borang Soal Selidik oleh Usahawan


Sehubungan itu, tuan/puan adalah dijemput hadir untuk memeriahkan Program Hari Bertemu Pelanggan 2011 yang akan diadakan ini.