Jumaat, 23 Disember 2011

Majlis Menandatangan Dan Penyerahan Watikah Perlantikan Adiguru Kraf 2011

Pada 18 Disember 2011, Kraftangan Malaysia telah mengadakan Majlis Menandatangani dan Penyerahan Watikah Perlantikan Adiguru Kraf 2011 bertempat di dewan kasturi Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Encik Mohd. Kamil Bin Mohd. Ali. Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh / master craftsmen setelah mereka menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Seramai 2 orang tokoh kraf dari Negeri Kelantan dan seorang tokoh dari Negeri Terengganu telah dipilih iaitu :
i. En. Md Ghani Bin Mat - Adiguru Blok Batik (Kelantan)
ii. En. Mohamed@Mohd Daun Bin Yusoff - Adiguru Pertukangan Perak (Kelantan)
iii. En. Nor Haiza Bin Noor Din - Adiguru Ukiran Halus (Terengganu)

Khamis, 22 Disember 2011

Bengkel Pengucapan Awam

Bermula 6 hingga 8 Disember 2011 yang lalu telah diadakan Bengkel Pengucapan Awam bertempat di dewan kasturi Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Bengkel yang berlangsung selama 3 hari ini telah dikendalikan oleh penceramah dari Institut Tadbiran Awam Wilayah Timur (INTIM). Objektif kursus adalah untuk mendedahkan peserta bengkel kepada teori dan teknik pengucapan awam yang berkesan dan meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri semasa mengacarakan majlis.

Rabu, 21 Disember 2011

Taklimat Projek Orientasi Pengeluaran (OP) Produk Barang Kemas Perak

Pada 4 Disember 2011, Kraftangan Malaysia Kelantan telah mengadakan Taklimat Projek Orientasi Pengeluaran (OP) produk barang kemas perak sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012 bertempat di Kraftangan Malaysia Kelantan dan disertai seramai 12 orang pengusaha perak yang akan menyertai jualan di Hari Kraf Kebangsaan pada tahun hadapan. Objektif utama taklimat ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam rekabentuk produk, aplikasi bahan dan gabungan teknik pengeluaran agar memenuhi kehendak pasaran semasa. Disamping memberi pendedahan perkembangan rekaan dan menghayati seni kraf barang kemas perak kontemporari serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.