Rabu, 24 April 2013

Promosi Bazar Kraf April 2013

Promosi Bazar Kraf di Pusat Jualan Kraf Batu 2, Bunut Payong akan diadakan pada 27 April 2013. Selain jualan produk kraf aktiviti menarik menanti anda, antaranya Interaktif Kraf Batik & Seramik dan Pertandingan Seni Suara Burung Candik turut diadakan. Pakat-pakat adik kakok maghi belako..

Ahad, 21 April 2013

Pengambilan Pelajar Program Pengajian Latihan Kemahiran dalam bidang Kraf di Institut Kraf Negara (IKN) 2013

Pengiktirafan Kelayakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Setaraf dengan IPTA Tempatan PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN MALAYSIA melalui Institut Kraf Negara (IKN) menawarkan program pengajian latihan kemahiran dalam bidang kraf secara sepenuh masa. Borang permohonan boleh didapati di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan seperti mana alamat berikut : 

KM10, Jalan Kuala Krai,
16010, Kota Bharu,
Kelantan
Tel : 09-721 6266 / 77

Permohonan juga boleh dibuat secara online di http://www.ikn.gov.my
Tarikh Tutup Permohonan 15 Mei 2013

Hajjah Nik Rahimah Binti Nik Idris


Hajjah Nik Rahimah Binti Nik Idris
Tukang Ulung Sulaman Kelingkam (2013)
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 22 September 1941

HAJJAH NIK RAHIMAH BINTI NIK IDRIS telah dilahirkan pada 22 September 1941 di S/3215 Lorong Datuk Nik Jaafar, Kubang Pasu, 15300 Kota Bharu, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Merbau, Kota Bharu. Beliau mula bergiat aktif dalam bidang jahitan dan sulaman seawall tahun 50 –an lagi ketika berumur 15 tahun dan antara kemahiran – kemahiran beliau ialah sulaman kelingkam, tekatan paku-paku, sulaman ayak, jahitan manik, jahitan pakaian, smoking (jahitan bunga), kaitan (jarum satu dan jarum dua) dan peralatan singahsana diraja Kelantan. 

Pada tahun 60-an mula berkhidmat sebagai tukang jahit untuk Raja Perempuan Kelantan iaitu Al Marhumah Raja Perempuan Zainab Dua sehinggahlah baginda Raja Perempuan mangkat. Ketika berkhidmat bersama baginda, Nik Rahimah sentiasa mengikuti baginda dan pernah tinggal di istana Negara sewaktu baginda menjadi Raja Permaisuri Agong. Beliau juga menjadi tukang jahit terutamanya menjahit manik dan labuci untuk pakaian Permaisuri Kelantan seterusnya iaitu Permaisuri Tengku Anis. 

Pada tahun 70-an, beliau pernah diminta untuk membuat sepasang selipar tekatan oleh Almarhum Sultan Yahya Petra untuk dihadiahkan kepada raja Thailand iaitu Raja Bumiphol Aduyadev. Sekitar tahun 80-an, beliau juga menjadi antara penyulam sulaman ayak untuk ibu adiguru Lim Swee Kim dan pada tahun 1993 beliau terlibat dalam penyediaan peralatan untuk Muzium Istana Jahar, Kelantan. 

Hasil Kerja beliau juga mendapat perhatian dan diberi kepercayaan untuk menjahit kelengkapan pakaian seperti selendang kelingkam untuk permaisuri Selangor, Tengku Ampuan Rahimah, permaisuri Perlis, Tengku Fauziah dan Sultanah Johor, Tengku Zanariah. Beliau juga menjahit selendang kelingkam untuk Sultanah Johor semasa majlis Konvokesyen UTM sekudai. 

Pada tahun 1993 juga beliau pernah dijemput untuk mengadakan demontrasi sulaman kelingkam di hotel Hayat di Bangkok Thailand semasa mengikuti rombongan Al-Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ke sana sempena mempromosikan Kelantan Heritage. Pada masa pemerintahan Sultan Ismail Petra juga beliau kerap dijemput menjadi pengadil hamper setiap tahun pada sambutan keputraan Baginda iaitu sebagai pengadil pertandingan bagi kategori sulaman, gubahan dan masakan. 

Pada tahun 2006 atas usaha Kraftangan Cawangan Kelantan untuk mengekalkan waisan sulaman kelingkam telah menjemput Hajjah Nik Rahimah untuk menjdai tenaga pengajar sulaman kelingkam kepada seramai 10 orang pelajar selama 6 bulan. Selepas itu kraftangan Malaysia kerap menjemput beliau untuk menyertai demontrasi terutama pada Hari Kraf Kebangsaan, Promosi Kerja Kahwin dan Promosi Jualan Aidilfitri di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. 

Pada bulan April beliau telah dijemput untuk mengadakan demontrasi di Muzium Tekstil Kuala Lumpur sempena Pembukaan Muzium tersebut yang telah dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia iaitu Datin Seri Rosmah Mansor. Pada tahun tersebut juga telah diminta untuk menyiapkan kelengkapkan perkahwinan di Raja Kelantan menggunakan kelingkam untuk Muzium Negeri Pahang. 

Sehingga kini Hajjah Nik Rahimah masih lagi aktif meneruskan khidmatnya terutama dalam pembuatan selendang kelingkam yang kebanyakanya di tempah oleh kerabat – kerabat diraja dan isteri – isteri pembesar negeri. Beliau juga masih aktif menerima jemputan untuk mengadakan demostrasi dan memberi tunjuk ajar dalam sulaman kelingkam. Antara anugerah yang pernah diterima beliau ialah tempat ke dua dalam pertandingan kategori sulaman pada tahun 1987 yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur. Pada tahun 2007 pernah menerima Sijil Penghargaan dari Muzium Negara Malaysia pada tahun 2012.