Memaparkan catatan dengan label Adiguru Kraf. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Adiguru Kraf. Papar semua catatan

Ahad, 21 April 2013

Hajjah Nik Rahimah Binti Nik Idris


Hajjah Nik Rahimah Binti Nik Idris
Tukang Ulung Sulaman Kelingkam (2013)
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 22 September 1941

HAJJAH NIK RAHIMAH BINTI NIK IDRIS telah dilahirkan pada 22 September 1941 di S/3215 Lorong Datuk Nik Jaafar, Kubang Pasu, 15300 Kota Bharu, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Merbau, Kota Bharu. Beliau mula bergiat aktif dalam bidang jahitan dan sulaman seawall tahun 50 –an lagi ketika berumur 15 tahun dan antara kemahiran – kemahiran beliau ialah sulaman kelingkam, tekatan paku-paku, sulaman ayak, jahitan manik, jahitan pakaian, smoking (jahitan bunga), kaitan (jarum satu dan jarum dua) dan peralatan singahsana diraja Kelantan. 

Pada tahun 60-an mula berkhidmat sebagai tukang jahit untuk Raja Perempuan Kelantan iaitu Al Marhumah Raja Perempuan Zainab Dua sehinggahlah baginda Raja Perempuan mangkat. Ketika berkhidmat bersama baginda, Nik Rahimah sentiasa mengikuti baginda dan pernah tinggal di istana Negara sewaktu baginda menjadi Raja Permaisuri Agong. Beliau juga menjadi tukang jahit terutamanya menjahit manik dan labuci untuk pakaian Permaisuri Kelantan seterusnya iaitu Permaisuri Tengku Anis. 

Pada tahun 70-an, beliau pernah diminta untuk membuat sepasang selipar tekatan oleh Almarhum Sultan Yahya Petra untuk dihadiahkan kepada raja Thailand iaitu Raja Bumiphol Aduyadev. Sekitar tahun 80-an, beliau juga menjadi antara penyulam sulaman ayak untuk ibu adiguru Lim Swee Kim dan pada tahun 1993 beliau terlibat dalam penyediaan peralatan untuk Muzium Istana Jahar, Kelantan. 

Hasil Kerja beliau juga mendapat perhatian dan diberi kepercayaan untuk menjahit kelengkapan pakaian seperti selendang kelingkam untuk permaisuri Selangor, Tengku Ampuan Rahimah, permaisuri Perlis, Tengku Fauziah dan Sultanah Johor, Tengku Zanariah. Beliau juga menjahit selendang kelingkam untuk Sultanah Johor semasa majlis Konvokesyen UTM sekudai. 

Pada tahun 1993 juga beliau pernah dijemput untuk mengadakan demontrasi sulaman kelingkam di hotel Hayat di Bangkok Thailand semasa mengikuti rombongan Al-Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ke sana sempena mempromosikan Kelantan Heritage. Pada masa pemerintahan Sultan Ismail Petra juga beliau kerap dijemput menjadi pengadil hamper setiap tahun pada sambutan keputraan Baginda iaitu sebagai pengadil pertandingan bagi kategori sulaman, gubahan dan masakan. 

Pada tahun 2006 atas usaha Kraftangan Cawangan Kelantan untuk mengekalkan waisan sulaman kelingkam telah menjemput Hajjah Nik Rahimah untuk menjdai tenaga pengajar sulaman kelingkam kepada seramai 10 orang pelajar selama 6 bulan. Selepas itu kraftangan Malaysia kerap menjemput beliau untuk menyertai demontrasi terutama pada Hari Kraf Kebangsaan, Promosi Kerja Kahwin dan Promosi Jualan Aidilfitri di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. 

Pada bulan April beliau telah dijemput untuk mengadakan demontrasi di Muzium Tekstil Kuala Lumpur sempena Pembukaan Muzium tersebut yang telah dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia iaitu Datin Seri Rosmah Mansor. Pada tahun tersebut juga telah diminta untuk menyiapkan kelengkapkan perkahwinan di Raja Kelantan menggunakan kelingkam untuk Muzium Negeri Pahang. 

Sehingga kini Hajjah Nik Rahimah masih lagi aktif meneruskan khidmatnya terutama dalam pembuatan selendang kelingkam yang kebanyakanya di tempah oleh kerabat – kerabat diraja dan isteri – isteri pembesar negeri. Beliau juga masih aktif menerima jemputan untuk mengadakan demostrasi dan memberi tunjuk ajar dalam sulaman kelingkam. Antara anugerah yang pernah diterima beliau ialah tempat ke dua dalam pertandingan kategori sulaman pada tahun 1987 yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur. Pada tahun 2007 pernah menerima Sijil Penghargaan dari Muzium Negara Malaysia pada tahun 2012.

Isnin, 25 Mac 2013

Abdul Latiff Bin Long



Abdul Latiff Bin Long
Tukang Ulung Ukiran Kayu (2013)
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 22 Disember 1946

PENGHASILAN KARYA / REKACIPTA

i. Tahap penghasilan karya / rekacipta
a) Eksklusif
1. Hasil rekaannya pernah dijadikan hiasan pintu serta dinding di bebebrapa bangunan besar, termasuk Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), Pejabat Penerbangan Malaysia (MAS) di London, Tokyo, Hong Kong dan Loas Angelas.

b) Pasaran Khusus (Niche market)
1. Pada awal penglibatan, Che Latif telah membuka sebuah bengkel secara kecil sahaja di laman rumahnya yang beralamat Batu 1 ¼ , Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
2. Che Latif juga menghasilkan produk-produk yang dijual kepada pihak atau individu tertentu sahaja untuk tempahan khas.

ii. Karya / rekacipta yang menjadi ikutan (trend-setter)
Beliau boleh mengukir pelbagai jenis ukiran seperti Singahsana Istana, mimbar masjid, rumah tradisional melayu,sarong keris, ukiran pintu, siling dan dinding.

iii. Inovasi dalam menghasilkan karya atau reka cipta 
Ketika berumur 17 tahun, beliau mula membuat kajian dari segi Sarong Keris dan Ulu Senjata Melayu di merata – rata tempat daerah, kampung – kampung seluruh negeri. Kebolehan beliau dalam bidang ukiran kayu tiada tandingan. Keunikan ukiran beliau ialah corak Bunga Lada Hitam pada mimbar serta teknik ukiran Tebuk Timbul Silat. 

PENGIKTIRAFAN DAN PENCAPAIAN

i. Pengiktirafan ke atas kepakaran
Beliau mendapat pengiktirafan semasa membuat Singahsana Istana Negara, Kuala Lumpur iaitu pingat Pertabalan DYMM (SPB) Yang Di Pertuan Agong ke VII iaitu Sultan Hj. Ahmad Shah Pahang pada 06 Oktober 1980.

ii. Pengiktirafan ke atas karya / reka cipta
 
Beliau terkenal sebagai pengukir kayu tradisional di Kelantan.Kemahirannya mengukir, termasuk mimbar masjid yang menjadikan nama beliau terkenal bukan sahaja di dalam, malah di luar negara.

iii. Pencapaian kerjaya
Antara ciptaan terbesar beliau adalah ukiran di dinding dan bangunan dalam Dewan Undangan Negeri( DUN ) di Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan.  Bagi memperkembangkan lagi industri  ukiran kayu di peringkat global beliau telah mengesyorkan kepada Datok Yaakob Latif iaitu Datok Bandar Kuala Lumpur supaya dibentangkan dalam sidang parlimen untuk memartabatkan lagi industri ukiran kayu tersebut.

iv. Dokumentasi
Menghasilkan beberapa buah buku untuk didokumentasikan sebagai rujukan kepada agensi – agensi kerajaan, swasta khususnya untuk arkitek, penuntut – penuntut IPTA dan IPTS. Contohnya buku Jenis Bunga Melayu.



SUMBANGAN DALAM PEMBANGUNAN INDUSTRI KRAF NEGARA

i. Menurunkan kemahiran
Che Abdul Latif telah menurunkan kemahiran yang dimiliki melalui latihan, mengajar serta mewariskan kemahiran dan kepakarannya kepada masyarakat setempat, antaranya Rosli Bin Mohd Tahir. Pernah menjadi guru pengukir Lembaga Kraftangan Malaysia, Temerloh pada 01.04.1975.

ii. Penglibatan dalam program promosi anjuran agensi atau badan-badan tertentu
Menyertai Promosi Kraf Malaysia sempena HKK 2007

iii. Menjadi pakar rujuk
Sebagai Panel Penasihat menyuarat Lembaga Kraftangan Malaysia pada tahun 1974 dan menjadi penasihat kepada Persatuan Arkitek Malaysia.

KOMITMEN YANG TINGGI DALAM MEMARTABATKAN SENI KRAF WARISAN NEGARA

i. Menambah ilmu dan mempertingkatkan kemahiran 
Sentiasa dikunjungi oleh penuntut – penuntut IPTA dan IPTS serta mengadakan bengkel – bengkel di Universiti tempatan.

ii. Nilai falsafah dan identiti dalam memartabatkan kraf warisan
Faktor pendorong kepada beliau supaya meneruskan seni pertukangan kraf tradisional ialah ayah beliau iaitu Che Long bin Yusoff yang dikenali sebagai Dr.Che Long.

Rabu, 4 Julai 2012

Mohamed @Mohd Daud Bin Yusof

Mohamed @Mohd Daud Bin Yusof
Adiguru Logam Perak (2011)
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 03 Januari 1946

BERKEMAHIRAN DAN PAKAR DALAM BIDANG KRAF WARISAN
Mempelajari kemahiran pertukangan perak daripada keluarga iaitu daripada ibu dan bapanya sendiri. Produk ciptaan En.Mohamed @ Mohd Daud Bin Yusof sentiasa menjadi ikutan atau contoh kepada pengusaha kraf perak yang lain. Hasil produk beliau sentiasa dikagumi kerana kualiti dan kekemasan yang dihasilkan. Beliau mula berkecimpung di dalam bidang ini ke usia belasan tahun, beliau banyak menyumbangkan bakti mengembangkan kemahiran seni pertukangan perak melalui beberapa agensi dan pertubuhan antaranya:-

i.Kraftangan Malaysia
ii.Karyaneka
iii.Individu

INOVASI DALAM MENGHASILKAN KARYA ATAU REKA CIPTA
En.Mohamed @ Mohd Daud Bin Yusof turut meneroka penggunaan alatan moden dalam seni pertukangan perak. Ia bertujuan untuk meluaskan lagi pasaran. Penggunaan alatan ini dapat mempercepatkan proses pertukangan namun kualiti dan keindahan kraf perak masih terus dikekalkan. Perkara yang paling penting kos pengeluaran dapat dikurangkan dan ia memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memiliki barangan perak. Sungguhpun demikian beliau masih terus mengusahakan tekatan tradisional menggunakan tangan kerana permintaan terhadap produk ini masih tinggi.

PENGIKTIRAFAN DAN PENCAPAIAN
Beliau pernah menerima pengiktirafan dari JPA iaitu Sijil Perkhidmatan Setia pada tahun 1993 dan menyertai seminar People To People Exchange Programme di Myanmmar pada tahun 2004. Kraftangan Malaysia sering membuat pengambaran dibengkel dan dokumentari tentang En.Mohamed @ Mohd Daud Bin Yusof berkaitan penghasilan produk kraf perak. Produk yang dihasilkan oleh En.Mohamed @ Mohd Daud Bin Yusof juga sering mendapat liputan daripada media massa (cetak dan elektronik) antara Utusan Malaysia, Sinar Harian, TV3, RTM dan banyak lagi rencana mengenai beliau.

SUMBANGAN DALAM PEMBANGUNAN INDUSTRI KRAF NEGARA
Beliau turut memberikan sumbangan dalam membangunkan dan mengembangkan indsutri kraf negara. Beliau menjadi pakar rujuk dan tempat pembelajaran bagi pelajar praktikal daripada Institut Kraf Negara untuk membuat latihan industri dan beliau juga sentiasa menyokong aktiviti kraftangan dengan menerima pelatih Skim Khidmat Kraftangan untuk mempelajari teknik-teknik asas pembuatan produk perak.

Antara reka corak dan motif yang beliau gubah:- 
a. Pucuk Rebung
b. Awan Larat
c. Bunga Raya
d. Daun Tapak Sulaiman
e. Bunga Jawa dan lain-lain
f. Menerima tempahan khas


KOMITMEN YANG TINGGI DALAM MEMARTABATKAN SENI KRAF WARISAN NEGARA
En.Mohamed @ Mohd Daud Bin Yusof seorang yang bersungguh-sungguh didalam mempertahankan serta mengekalkan produk kraf warisan daripada pupus atau dilupakan. Disamping itu juga, beliau menunjukkan kesungguhan untuk terus meningkatkan kemahiran dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mendapatkan maklumat terbaru didalam seni pembuatan produk kraf perak.

En.Mohamed @ Mohd Daud Bin Yusof telah memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Komitmen yang diberikan kepada setiap program-program anjuran kerajaan digunakan sepenuhnya seperti menjadi jurutunjuk bagi latihan-latihan pertukangan kraf perak. Beliau turut membantu mempromosikan barangan kraf perak dengan menyertai beberapa siri pameran dan demostrasi di dalam negara.

Allahyarham Ibrahim Bin Ismail

Allahyarham Ibrahim Bin Ismail
Adiguru Logam Perak (1990)
Negeri : Kelantan

KEPIMPINAN DAN KETOKOHAN
Haji Ibrahim Bin Haji Ismail berasal dari Kampung Sireh, Pintu Geng, Negeri Kelantan Darul Naim dan kini menetap di Lorong Pasir Kota, Pintu Geng. 

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kota dari darjah 1 sehingga darjah 4. Kemudian beliau bertukar ke Sekolah Padang Garong dan menyambung alam persekolahan sehingga tamat darjah 6. 

Penglibatan beliau dalam bidang kemahiran perak bermula usia seawal 12 tahun lagi. Ketika itu hanya ingin mencuba sahaja, tetapi lama kelamaan minat terhadap kemahiran barangan perak mula timbul. Sewaktu berusia 19 tahun beliau bekerja sebagai seorang guru dan pada masa yang sama juga beliau membuat barangan perak secara sambilan. 

Oleh kerana minat yang mendalam, beliau telah berhenti kerja menjadi guru dan melakukan kerja sepenuh masa didalam bidang perak. Beliau telah mempelajari selok-belok bidang pembuatan barangan perak ini daripada atuk saudara beliau iaitu Haji Deraman Bin Hussin. Beliau juga pernah bekerja dengan Kraftangan Malaysia dan memegang jawatan sebagai tenaga pengajar barangan perak pada satu ketika dahulu. Sehingga kini minat beliau terhadap kemahiran perak tidak pernah luntur, tetapi masalah kesihatan telah membataskan pergerakkan beliau. 

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI 
Haji Ibrahim Bin Ismail lebih suka memasarkan barangan buatan beliau secara terus kepada pelanggan. Ini kerana pelanggannya dapat melihat hasil kerja tangannya yang halus serta dapat terus berurusan dengan beliau. 

Sepanjang pengelibatan beliau, beliau juga pernah menerima tempahan daripada kerabat di raja Negeri Kelantan, Dewan Negara untuk membuat cokmar. Dan beliau juga tempahan dari seluruh Malaysia. 

Untuk membuat satu cokmar ia mengambil masa selama 6 bulan. Hanya orang yang memiliki kepandaian yang tinggi terhadap kemahiran perak sahaja yang mampu membuatnya. Setiap cokmar berukuran sepanjang 5 kaki lebih. Cokmar yang asalnya merupakan alat senjata diubah bentuknya menjadi sebuah alat lambang kebesaran dan kuasa. Selain itu, Tuan Haji Ibrahim juga membuat produk perak yang lain. 

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN 
Kemahiran beliau dalam kemahiran perak ini telah mendapat tempat di kalangan orang ramai dan beliau mula menerima tempahan dari orang luar dan orang-orang kenamaan. 

Beliau sering menerima tempahan membuat barangan perak daripada mereka yang berminat memilikinya. 3. 

Beliau adalah bekas Adiguru yang telah dilantik oleh Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru Kraf Perak. 

SUMBANGAN 
Kejayaan demi kejayaa, beliau sering diundang untuk membuat demostarasi di MAHA Kuala Lumpur pada tahun 80an.

Mat Yaacob Bin Awang Besar

Mat Yaacob Bin Awang Besar
Adiguru Aneka Kraf (2006)
Negeri : Kelantan









Penglibatan Awal
En. Mat Yaacob mula menceburi sejak kecil dengan mengikut bapa dan juga bapa saudaranya yang aktif membuat dan memainkan rebana ubi. Datuk moyang tokoh dan Kampung Baru Pupuk sememangnya masyhur dengan seni rebana ubi sejak dahulu lagi. Tokoh mula bermain rebana ubi sejak 56 tahun yang lalu iaitu ketika beliau berumur 12 tahun. Kini, selain daripada mengusahakan pembuatan rebana ubi, tokoh juga bekerja sebagai pesawah dan penoreh getah.

Keunikan Kraf Adiguru
Rebana ubi yang dihasilkan tokoh masyhur di serata negeri kerana kemahiran tokoh dalam proses mengikat kulit kerbau yang telah kering serta diregangkan pada badan rebana. Proses yang paling rumit ini dinamakan proses ’mengambil’. Kelebihan inilah yang membuatkan tokoh menerima tempahan bukan sahaja dari luar malahan dari pengusaha rebana ubi yang lain kerana kemahirannya dalam proses ini sukar ditandingi dan amat berkualiti.

Proses pembuatan rebana ubi masa dahulu adalah lebih rumit berbanding kini kerana penggunaan peralatan-peralatan tangan. Dahulu, kayu-kayu besar agak sukar dipotong kerana hanya menggunakan gergaji buaya dan ditebuk menggunakan kapak. Namun kini, semua proses tersebut menjadi lebih mudah dengan mengguanakan mesin tanpa menjejaskan mutu kayu dan kualiti bunyi rebana ubi.

Pelapis Kraf
Tiada seorang pun daripada empat orang anak tokoh yang berminat untuk menjadi generasi pelapis dalam kemahiran pembuatan dan permainan rebana ubi. Namun begitu, sehingga kini hanya ada seorang anak muridnya yang mampu menguasai kemahiran ini dengan baik iaitu Shafawi b. Tahir. Shafawi yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wi merupakan anak jati Kg. Baru Pupuk dan menjadi harapan kepada En. Mat Yaacob biarpun telah berusia 52 tahun.

Menurut  tokoh, selain Kraftangan Malaysia, beliau tidak menerima sebarang bantuan atau insentif dari badan atau jabatan kerajaan yang lain. Namun begitu, tokoh sering menerima jemputan demonstrasi dan pertandingan di seluruh Malaysia.

Antara persembahan demonstrasi yang pernah disertai ialah Demonstrasi Hari Kraf Kebangsaan (2002), Persembahan Kebudayaan di Dataran Merdeka (2002) serta Persembahan Kebudayaan di Putrajaya (2005) manakala pertandingan yang pernah dimenangi ialah sebagai Johan Pertandingan Rebana Peringkat Negeri. Selain daripada itu, tokoh juga pernah mendapat liputan media dari RTM, TV3 dan pelbagai stesen televisyen yang lain.

Allahyarham Haji Ab Manan Bin Haji Yakub

Allahyarham Haji Ab Manan Bin Haji Yakub
Adiguru Logam (2008)
Tokoh Kraf Negara Logam (2011)
Negeri : Kelantan





Salah seorang tokoh dalam pertukangan perak yang disegani ramai ialah Haji Abdul Manan bin haji Yakub dari Kampung Sireh di daerah Kota Bharu, Kelantan. Beliau dilahirkan pada 10 Jun 1944 dan mewarisi kemahiran pertukangan perak dari keluarganya. Beliau mula bertukang perak pada usia 16 tahun. Haji Abdul Manan sentiasa mengasah kreativiti dengan menghasilkan reka bentuk dan reka corak mengikut kehendak semasa.        

Beliau masih terus mengusahakan pembuatan barangan Perak dengan menggunakan tangan kerana permintaan terhadap produk ini masih tinggi. Kemahiran beliau mendapat pengiktirafan dari pihak Istana Kelantan apabila beliau dilantik sebagai tukang Kraf istana pada tahun 1993. pada tahun 2008, Kraf tangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Pertukangan Perak

Allahyarham Abdullah Bin Daud

Allahyarham Abdullah Bin Daud
Adiguru Pandai Besi (1993)
Negeri : Kelantan

KEPIMPINAN DAN INTELEKTUAL
Allahyarham Abdullah bin Daud antara tukang besi yang segani di seluruh negara. Belajar bertukang besi daripada ayahnya yang juga merupakan seorang tukang.Pernah mendapat pendidikan formal sehingga darjah dua. Beliau menghabiskan masa di bengkel ayahnya dengan membuat barangan kecil seperti pisau, hulu parang dan pisau kemudian dijual kepada rakan-rakan sekolah pada harga antara 20 sen hingga 60 puluh sen.

Sebagai remaja beliau pernah mencuba beberapa pekerjaan dan merantau ke Thailand dan Singapura. Akhirnya anak muda ini mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halaman dan bertekad mengusahakan pertukangan besi sepenuh masa dan pada usia 24 tahun beliau telah mahir menempa senjata. Beliau mahir menghasilkan pelbagai jenis senjata seperti keris, pedang, parang, tukul, beliung, golok, kapak dan kerambit. Senjata istimewanya ‘Kerambit Lawi Ayam’. Keistimewaan En Abdullah yang lebih senang dengan panggilan Pak Lah ialah kemahiran beliau melakukan proses menghasilkan senjata dari memilih besi sehingga mengukir hulu dan sarung senjata. Ini adalah merupakan bakat semulajadi beliau.

Apabila perusahaannya bertambah maju beliau membuka bengkel sendiri dengan dibantu oleh ayah saudara beliau. Beliau sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perusahaan beliau. Barangan yang dihasilkan dilakukan dengan cara pengeluaran dengan kuantiti yang banyak dan dipasarkan di Pasar Kota Bharu dan Machang. Ternyata hasil kerja beliau sememangnya mendapat perhatian penduduk- penduduk setempat, pelancong serta orang kenamaan.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Encik Abdullah lebih suka memasarkan barangan buatan beliau secara terus kepada pelanggan. Ini kerana pelanggannya dapat melihat hasil kerja tangannya yang halus serta dapat terus berurusan dengan beliau.Secara tidak langsung mereka akan mengenali beliau dengan lebih dekat lagi. Terdapat juga pelanggan yang menempah terus dari beliau dan ada juga dijual melalui pasar.

Pak Lah bukan sahaja mahir dalam membuat senjata malah beliau mampu menghasilkan hulu keris, parang dan senjata lain dengan unik sekali. Lama – kelamaan kemahiran beliau dalam petukangan besi ini telah mendapat tempat di kalangan orang ramai dan beliau mula menerima tempahan dari orang luar dan orang – orang kenamaan. Antara senjata yang dihasilkan oleh beliau adalah keris untuk Istana Besar Perlis serta peralatan lembing dari Kerajaan Negeri Terengganu.

SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT
Kejayaan demi kejayaan mula beliau kecapi. Antaranya beliau pernah dijemput beberapa kali membuat persembahan dan demonstrasi bagi pihak Lembaga Pengalakkan Pelancongan Malaysia. Tempahan barangan senjata dari agensi – agensi kerajaan lain juga turut diterima antaranya ialah Muzium Kelantan, Muzium Johor, Muzium Terengganu dan Muzium Pekan, Pahang. Beberapa majalah, suratkhabar, dan media lainnya mula memberi publisiti kepada beliau dalam ruangan seni dan budaya.

Beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Pandai Besi pada tahun 1993 oleh Kraftangan Malaysia. Beliau dipilih berdasarkan beliau merupakan satu – satu pembuat senjata Melayu yang mahir membuat senjata dan mengukir hulu senjata serta komitmen beliau terhadap penduduk setempat. Di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan beliau terkenal sebagai guru silat dan guru mengajar mengaji Al-Quran. Tidak hairanlah beliau sering menjadi pakar rujuk dan juga orang yang dihormati di tempat beliau.

Isa Bin Samad

Isa Bin Samad
Adiguru Serunai (1997)
Negeri : Kelantan

Serunai merupakan pelengkap kepada peralatan muzik tradisional. Encik Isa bin Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Isa di antara pemain dan pembuat serunai yang disegani terutama oleh masyarakat setempat. Dilahirkan pada tahun 1943, di Kampong Kebakat, Wakaf Baru, Kota Bharu, Kelantan. Selain daripada perlu menghasilkan tiupan yang merdu, Pak Isa menitik beratkan penampilan sesebuah serunai yang bakal ditiupnya. Beliau mewarisi kebolehan bermain dan membuat serunai daripada ayahnya.

Kepakaran yang dimiliki oleh Pak Isa ini telah melayakkan belia memenangi pertandingan serunai anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia  pada tahun 1994 dan 1997 dan pertandingan budaya peringkat negeri anjuran Tan Sri Mubin Sheppard pada tahun 1979. Beliau turut menerima gelaran kebudayaan Sri Setia daripada yang di Pertuan Agong pada tahun 1971. Bagi menghargai bakat dan kemahirannya, Kraftangan Malaysia melantik beliau sebagai ADIGURU KRAF SERUNAI pada tahun 1997.

Shafie Bin Jusoh

Shafie Bin Jusoh
Adiguru Aneka Kraf (2006)
Negeri : Kelantan

Encik Shafie b. Jusoh mula meminati bidang kraf wau sejak berada di sekolah rendah lagi. Ketika berusia 10 tahun, beliau sering mengikut rakan-rakannya bermain wau di bendang sehingga sanggup berhenti sekolah ketika berada di tahun tiga. Demi minat, beliau belajar membuat wau dari rakan-rakan dan cara-cara sobekan melalui pemerhatian sendiri. En. Shafie amat berbangga kerana minatnya tersebut mendapat dorongan daripada ibu bapanya dan sebagai tanda sokongan ayahnya telah memainkan wau besar yang telah dihadiahkannya. Dengan jualan secara kecil-kecilan, wau yang dihasilkan serba sedikit dapat membantu ekonomi keluarganya.

Ketika awal penglibatannya, belum ada lagi anak Kota Bharu yang mengusahakan pembuatan wau secara serius. Pada masa itu beliau hanya bertanding sambil bermain wau di Stadium Kota Bharu serta Kompleks KB. Bakat  tokoh mula menyerlah ketika beliau berusia 22 tahun dengan kedatangan dua orang pelancong luar negara yang menyaksikan bakatnya memainkan wau di stadium. Berminat dengan keunikan permainan tersebut, kedua-dua pelancong tersebut menempah wau dari tokoh. Semenjak dari itu, tokoh mula yakin dengan produknya serta menerima tempahan wau naik untuk dijual. En. Shafie dan mula menerima tempahan secara eksklusif  dari syarikat-syarikat besar serta jabatan kerajaan ketika berusia 30 tahun.

Beliau yang sangat mahir membuat wau perhiasan dan wau naik untuk pertandingan telah banyak memenangi pertandingan wau di  peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Antara pertandingan yang pernah disertainya ialah pertandingan wau peringkat antarabangsa ialah Pasir Gudang Kite Festival International Guests anjuran Lembaga Pelabuhan Pasir Gudang dan peringkat negeri seperti Johan Wau Cantik dan Johan Wau Naik peringkat negeri Johor serta pertandingan-pertandingan anjuran Majlis Pelancongan Negeri Kelantan. Selain pertandingan, beliau juga ada menerima jemputan untuk membuat demonstrasi oleh Tourism Malaysia (TDC) dan aktiviti kebudayaan anjuran kerajaan negeri.

Salah satu keunikan wau bulan yang dihasilkan oleh tokoh ialah badan wau yang dihasilkan berbentuk bulat dan seimbang antara kiri dan kanan yang direka berkonsepkan wau pada permukaan syiling 50 sen. Tokoh juga tidak pernah meniru corak-corak wau daripada ciptaan orang lain walaupun atas permintaan pelanggan. Sekiranya diminta menghasilkan wau berdasarkan gambar yang diberi untuk tempahan, tokoh pasti mereka cipta corak lain berdasarkan konsep yang diberi. Ini adalah kerana tokoh amat menghormati rekacipta orang lain dan ingin menghasilkan rekaan identitinya sendiri.

Apa yang paling menarik, wau yang telah dihasilkan oleh En. Shafie telah membawa beliau kepada pelantikan sebagai duta MAS. Pihak MAS sering menjembut beliau untuk membuat demonstrasi di luar negara seperti Australia, German, Maldives, Melbourne dan Jepun. Sehingga kini, pencapaian tokoh telah mendapat liputan daripada penerbitan majalah juga akhbar serta beberapa agensi media seperti RTM, TV3, TV7, TV8 dan juga Astro. Satu keistimewaan yang ada pada tokoh ialah beliau amat merendah diri meskipun namanya masyhur di kalangan penggiat seni wau. Beliau juga tidak pernah menetapkan sebarang kadar bayaran terhadap pihak media yang ingin membuat liputan tentang dirinya, perusahaan ataupun produknya.

Md. Ghani Bin Mat

Md. Ghani Bin Mat
Adiguru Blok Batik (2011)
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 23 Disember 1956

BERKEMAHIRAN DAN PAKAR DALAM BIDANG KRAF WARISAN
Mendapat Pendidikan tertinggi di Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Pasir Mas, Kelantan. Mempelajari kemahiran membuat blok batik dengan menghadiri kursus di Lundang, Kota Bharu, Kelantan.Blok batik yang dihasilkan oleh En. Md.Ghani Bin Mat sentiasa menjadi ikutan atau contoh kepada pengusaha kraf blok batik disekitar negeri Kelantan khususnya. Hasil produk beliau sentiasa dikagumi kerana kualiti dan kekemasan yang dihasilkan.

INOVASI DALAM MENGHASILKAN KARYA ATAU REKA CIPTA
Encik Md. Ghani Bin Mat turut menggunakan alatan moden dalam proses membuat blok batik sama ada yang hendak dijual atau tempahan khas kerana alatan ini dapat mempertingkatkan lagi proses kerja disamping menjaga kualiti produk. Pada masa yang sama beliau juga menggunakan kaedah tradisional didalam pembuatan blok batik ini. Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan memberikan bantuan berupa mesin belt sander untuk mempertingkatkan lagi kualiti blok batik yang dihasilkan oleh beliau. Produk yang dihasilkan oleh En. Md.Ghani Bin Mat juga sering mendapat liputan daripada media massa (cetak dan elektronik) antara Sinar Harian, TV3, RTM dan banyak lagi rencana mengenai beliau.

SUMBANGAN DALAM PEMBANGUNAN INDUSTRI KRAF NEGARA
En. Md.Ghani Bin Mat juga turut memberi sumbangan dalam membangunkan dan mengembangkan indsutri kraf negara. Sumbangan beliau adalah seperti menurunkan kemahiran kepada para pekerja-pekerja beliau terutamanya dan anak-anaknya. En. Md.Ghani Bin Mat menurunkan kemahiran yang dimilikinya melalui latihan yang diberikan kepada pekerjanya. Beliau juga menurunkan kemahiran tersebut kepada 2 orang anak-anak beliau iaitu Mohd Erri Azri dan Ahmad Adi Adli. Disamping itu juga, En. Md Ghani Bin Mat menurukan kemahiran yang dimiliki melalui kursus Latihan Jangka Pendek ( Blok Batik ) dan menyertai Skim Perantisan Kraf Warisan yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan.

Antara reka corak dan motif yang beliau gubah:-
a. Pucuk Rebung
b. Abstrak
c. Bunga
d. Daun

KOMITMEN YANG TINGGI DALAM MEMARTABATKAN SENI KRAF WARISAN NEGARA
En. Md. Ghani Bin Mat seorang yang bersungguh-sungguh didalam mempertahankan serta mengekalkan produk kraf warisan daripada pupus atau dilupakan oleh generasi akan datang. Disamping itu juga, beliau menunjukkan kesungguhan untuk terus meningkatkan kemahiran dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mendapatkan maklumat terbaru didalam seni pembuatan blok batik ini. Beliau merupakan seorang yang berusaha menambah ilmu dari masa ke semasa bagi meningkatkan kemahiran dalam menghasilkan blok batik ciptaan beliau dengan mengikuti bengkel yang diadakan oleh pihak tertentu. Selain daripada itu beliau selalu membuat rujukan keatas setiap bahan bacaan yang diperolehi terutamanya berkaitan blok batik.

Nilai falsafah dan identiti dalam memartabatkan kraf warisan
Setiap blok batik ciptaan beliau mempunyai identiti dan cerita yang tersendiri terutamanya blok batik yang mempunyai motif pucuk rebung.

Penyertaan dan kegiataan dalam masyarakat setempat 
Beliau juga sering melibatkan diri dengan masyarakat sekeliling dan aktiviti sosial. En. Md. Ghani Bin Mat bergiat aktif dalam setiap aktiviti kemasyarakat yang dianjurkan dikampung beliau.

Che Mud Bin Che Awang

Che Mud Bin Che Awang
Adiguru Aneka Kraf (1989)
Negeri : Kelantan









KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN
Che Mud bin Che Awang berasal dari Negeri Kelantan Darul Naim dan kini menetap di Kampung Bunuhan, Tumpat, Kelantan. Walaupun tidak pernah menerima pendidikan formal beliau memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang kraf. Beliau pakar membuat jebak puyuh, wau dan wayang kulit. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai Ilmu Main Puteri, salah satu cara perubatan tradisional di Kelantan. Penglibatan beliau dalam bidang kemahiran membuat jebak puyuh ini bermula semenjak beliau masih kanak – kanak lagi. Sewaktu beliau kecil, beliau sering mendampingi datuk saudaranya yang sangat gemar menangkap puyuh dan mahir membuat jebak puyuh.
Oleh kerana minat yang mendalam, beliau tidak pernah melepaskan peluang memerhatikan cara – cara datuknya membuat jebak puyuh. Suatu hari apabila datuknya meninggalkan kerja – kerja membuat jebak puyuh seketika, tanpa membuang masa beliau mengambil kesempatan itu telah menyiapkan jebak puyuh tersebut. Semenjak dari itu datuk saudaranya telah mula mengajar beliau cara – cara membuat jebak puyuh secara serius.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Beliau menggunakan teknik tradisional yang rumit tetapi tidak memerlukan kos yang tinggi. Kebanyakkan bahan – bahan yang perlu digunakan diperolehi dari hutan di sekitar tempat tinggal beliau. Jebak puyuh yang dihasilkan oleh Che Mud ini sebenarnya telah diperbaharui reka bentuknya berdasarkan bakat dan ilham beliau sendiri. Reka bentuk jebak ini diilhamkan dari badan burung puyuh itu sendiri.
Beliau memperindah jebak puyuh dengan ukiran dan ikatan . Hasilnya, sungguh menarik sekali dan tiada siapa yang menyangka barangan kraf secantik itu hanyalah sebuah jebak memikat puyuh. Hasil kreativiti beliau kini dipelbagaikan kegunaannya. Jebak puyuh kini dijadikan sebagai alat hiasan rumah yang indah dan unik.

SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT
Kini kemahiran membuat jebak puyuh yang dahulunya hanyalah merupakan hobi, kini ia turut mendatangkan hasil pendapatan sampingan kepada beliau. Beliau sering menerima tempahan membuat jebak puyuh daripada mereka yang berminat memilikinya. Kemahiran yang dimiliki oleh Che Mud ini telah membawa beliau ke Amerika Syarikat bagi mempromsikan seni warisan bangsa. Beliau juga telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Jebak Puyuh pada tahun 1989 oleh Kraftangan Malaysia.