Memaparkan catatan dengan label Teknikal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknikal. Papar semua catatan

Isnin, 10 September 2012

Bengkel Aplikasi Ms 692:2007 Dalam Perdagangan Batik

KOTA BHARU, 9 September 2012 - telah berlangsung Bengkel Aplikasi MS 692: 2007 Di Dalam Perusahaan Batik. Bengkel ini diadakan dengan kerjasama Sirim Training Sendirian Berhad. Bengkel ini berlangsung selama sehari dan disertai seramai  35 orang usahawan batik dari negeri Kelantan yang dikendalikan oleh Puan Noor Hayati Mokhtar Konsultant Kanan Sirim Berhad. Bengkel ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada para usahawan mengenai kepentingan penggunaan standard di dalam memberi nilai tambah persaingan di dalam era globalisasi. Antara topik yang didedahkan di dalam bengkel ini adalah Masa Depan dan Hala Tuju Industri Batik, Kepentingan MS 692: 2007 (Batik Malaysia) di Era Globalisasi, dan Kepentingan Harta Intelek. Di penghujung bengkel usahawan menyatakan harapan supaya bengkel ini dianjurkan dengan lebih kerap kerana ianya mampu memberi pengetahuan yang amat bernilai kepada para usahawan berkaitan maklumat,isu-isu dan cabaran terkini industri batik.

Sabtu, 10 September 2011

Taklimat Proses Rawatan Sisa Batik kepada Unit Pembangunan dan Kerjaya Kolej PTPL Kota Bharu

Pada 21 Ogos 2011, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan berpandu daripada Unit Pembangunan dan Kerjaya Kolej PTPL Kota Bharu. Lawatan tersebut disertai oleh 30 orang pelajar daripada kursus Diploma Teknologi Makmal Perubatan dan diiringi oleh dua orang guru pengiring. Tujuan lawatan itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar – pelajar tentang proses rawatan sisa industri khususnya batik selain memberi pendedahan tentang Industry Kraf Negara.

Khamis, 17 Mac 2011

Lawatan Loji Rawatan Sisa Batik Pelajar UMK

Pada 17 March 2011, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima seramai 30 pelajar dari jurusan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) Universiti Malaysia Kelantan untuk melihat proses rawatan sisa batik yang terdapat di cawangan ini. Lawatan ini diketuai oleh Dr. Wong Yee Ching manakala penerangan berkaitan dengan loji tersebut disampaikan oleh En. Muhammad Nasruddin Bin Mustaffa Kamal dari Unit Teknikal Cawangan Kelantan.

Isnin, 14 Mac 2011

Lawatan Usahawan dari Kuala Lumpur ke Pusat Inovasi Kraf Batik

Pada 13 March 2011, seramai 7 orang usahawan batik dari Kuala Lumpur telah datang melawat ke Pusat Inovasi Kraf Batik bagi melihat teknologi-teknologi terkini dalam proses pematian warna batik. Pelawat juga turut dibawa melawat kilang Usahawan Batik yang terdapat di Kelantan.

Ahad, 10 Oktober 2010

Kursus Pengendalian Bahan Kimia

Bahagian Teknikal Ibu Pejabat telah menganjurkan Kursus Pengendalian Bahan Kimia dari 6 dan 7 oktober 2010 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Para peserta terdiri daripada kakitangan teknikal seluruh cawangan Kraftangan Malaysia. Kursus ini di kendalikan oleh En Nazri Abdul Aziz dari Multiskill Training Consultancy Sdn Bhd dan En. Mohd Yusri B Mohd Yusof dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. PKKM Cawangan Kelantan menghantar 7 orang peserta menyertai kursus ini daripada 25 orang keseluruhannya.

Khamis, 5 Ogos 2010

Inovasi Mini Steamer

Pada 1 Ogos 2010, satu mesyuarat mengenai "Inovasi Mini Steamer" telah diadakan dengan kehadiran bersama syarikat perunding dari Eyetech Engineering & Trading. Pada mesyuarat kali ini pihak syarikat perunding telah membentangkan rekaan Mini Steamer yang terbaru dengan ciri-ciri penambahbaikan hasil dari idea asal pihak Kraftangan Malaysia. Idea Mini Steamer muncul bila mana pihak Kraftangan Cawangan Kelantan sedang menjalankan Kajian Batik Mesra Alam. Steamer ini berfungsi untuk mematikan warna pada kain tanpa perlu menggunakan lagi bahan kimia Silicate sebaliknya menggunakan wap sebagai egen pemati warna.

Selasa, 20 Julai 2010

Bengkel Pengawalan Mutu Batik Kraftangan Batik Malaysia MS 692 : 2006

Pada 19-20 Julai 2010, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan Bengkel Pengawalan Mutu Batik Kraftangan Batik Malaysia MS 692 : 2006, bertempat di Makmal Pengujian Mutu Batik Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Objektif kursus adalah menerap dan melahirkan usashawan batik tempatan supaya mementingkan kualiti batik di dalam pengeluaran sepertimana yang digariskan di dalam Piawaian Batik Malaysia. Oleh itu dapat memberi keyakinan kepada pengguna batik bahawa pengeluaran batik tempatan mempunyai nilai mutu yang tinggi samada untuk pasaran domestik atau antarabangsa. Berikut antara ujian mutu yang dijalankan :
  1. Ujian Cahaya (Standard: MS ISO 105-C01)
  2. Ujian Basuhan (Standard: MS ISO 105-D01)
  3. Ujian Ketahanan terhadap Air (Standard: MS ISO 105-E01)
  4. Ujian Ketahanan perpeluhan, Asid dan Alkali(Standard: MS ISO 105-E04)
  5. Ujian Ketahanan terhadap Gosokan, Basah dan Kering (Standard: MS ISO 105-X12)
  6. Ujian pH Ekstrak Cecair (Standard: MS 337)
  7. Ujian Perubahan Dimensi (Standard: MS ISO 7771)
  8. Ujian Kekuatan Regangan (Standard: MS ISO 13934-1)

Rabu, 18 November 2009

Kursus Penerangan Penggunaan Piawaian Batik Malaysia MS 692:2006

Pada 17 November 2009, Kraftangan Malaysia telah menganjurkan Kursus Penerangan Penggunaan Piawaian Batik Malaysia MS 692:2006 dengan kerja sama pihak SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia. En. Mohd Suhilme Bin Idrus, Pengarah Bahagian Teknikal dari Ibu Pejabat turut hadir memberi ucapan pengenalan. Seramai 45 orang hadir mendengar sesi penerangan yang terdiri daripada usahawan batik dan kakitangan kraftangan sendiri. Pada keseluruhannya kursus yang berlangsung selama sehari ini telah berjaya mencapai objektif untuk memperjelaskan tentang penggunaan piawaian batik Malaysia mengikut MS 692:2006.

Ahad, 9 Ogos 2009

Bengkel Pewarnaan Asli

Bengkel Pewarnaan Asli ini dijalankan dengan kerjasama daripada Muzium Tekstil Jakarta. Pegawai-pegawai Muzium Tekstil Jakarta merupakan tenaga pengajar bengkel ini. Tiga orang tenaga pengajar tersebut ialah En. Drs. H. Indra Riawan (Pengarah), Ibu Mis’Ari dan Bapak Marjono. Seramai 22 orang peserta telah mengikuti bengkel ini dengan jayanya. Sebilangan besar peserta terdiri daripada pengusaha batik dari seluruh negara dan juga kakitangan Kraftangan Malaysia sendiri. Bengkel ini bermula dari 7 hingga 12 ogos 2009, bertempat di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Haji Shahrudin Bin Hj. Mohd Nor serentak dengan perasmian program Promosi Kraf Malaysia Peringkat Negeri Kelantan.