Memaparkan catatan dengan label Teknologi Inovasi Dan Standard Batik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi Inovasi Dan Standard Batik. Papar semua catatan

Isnin, 1 November 2010

Kajian Penghasilan Warna dari Sumber Alam

     Pewarnaan semulajadi adalah warna yang dihasilkan dari bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan yang terdiri dari daun, bunga, akar, kulit, buah dan sebagainya. Bahan pewarna semulajadi ini merupakan bahan alternatif di dalam proses pembatikan bagi menggantikan pewarnaan sintetik yang diperbuat dari bahan kimia. Sebelum bahan pewarnaan kimia wujud di pasaran, pewarnaan semulajadi memainkan peranan utama di dalam pewarnaan batik. Justeru itu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dibawah Unit Kajian Teknologi mengorak langkah menjalankan penyelidikan berkaitan pewarnaan asli khususnya untuk industri batik.

     Bermula pada tahun 2005 hingga 2006 penyelidikan dijalankan untuk menghasilkan pewarnaan asli terus dengan kaedah rebusan daun. Sebanyak 18 warna berjaya dikeluarkan dari daun cempedak dan gajus. Pada tahun 2007 berikutnya, penyelidikan diteruskan lagi untuk menghasilkan permati warna asli bersumberkan air kapur dan air limau nipis bagi menggantikan permati warna kimia. Sebanyak 33 warna berjaya dikeluarkan dari daun kapal terbang dan kari. Pada tahun 2008 hingga 2009, penyelidikan diteruskan lagi dengan penghasilan pewarnaan asli dalam bentuk serbuk. Daun-daun seperti daun kari, mangga, nangka, kandis, kuinin, helikonia, pandan, halban, nam-nam, sentul, tembakau, sitam dan senduduk digunakan dan bahagian-bahagian tumbuhan lain seperti biji rambutan hantu, kulit kayu bakau dan kulit mengkudu turut diproses kali ini. Bahan-bahan ini dikeringkan dan diproses menjadi serbuk pewarna asli yang lebih mudah dibawa, mudah disimpan dan mudah disediakan.