Jumaat, 23 Disember 2011

Majlis Menandatangan Dan Penyerahan Watikah Perlantikan Adiguru Kraf 2011

Pada 18 Disember 2011, Kraftangan Malaysia telah mengadakan Majlis Menandatangani dan Penyerahan Watikah Perlantikan Adiguru Kraf 2011 bertempat di dewan kasturi Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Encik Mohd. Kamil Bin Mohd. Ali. Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh / master craftsmen setelah mereka menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Seramai 2 orang tokoh kraf dari Negeri Kelantan dan seorang tokoh dari Negeri Terengganu telah dipilih iaitu :
i. En. Md Ghani Bin Mat - Adiguru Blok Batik (Kelantan)
ii. En. Mohamed@Mohd Daun Bin Yusoff - Adiguru Pertukangan Perak (Kelantan)
iii. En. Nor Haiza Bin Noor Din - Adiguru Ukiran Halus (Terengganu)

Khamis, 22 Disember 2011

Bengkel Pengucapan Awam

Bermula 6 hingga 8 Disember 2011 yang lalu telah diadakan Bengkel Pengucapan Awam bertempat di dewan kasturi Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Bengkel yang berlangsung selama 3 hari ini telah dikendalikan oleh penceramah dari Institut Tadbiran Awam Wilayah Timur (INTIM). Objektif kursus adalah untuk mendedahkan peserta bengkel kepada teori dan teknik pengucapan awam yang berkesan dan meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri semasa mengacarakan majlis.

Rabu, 21 Disember 2011

Taklimat Projek Orientasi Pengeluaran (OP) Produk Barang Kemas Perak

Pada 4 Disember 2011, Kraftangan Malaysia Kelantan telah mengadakan Taklimat Projek Orientasi Pengeluaran (OP) produk barang kemas perak sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012 bertempat di Kraftangan Malaysia Kelantan dan disertai seramai 12 orang pengusaha perak yang akan menyertai jualan di Hari Kraf Kebangsaan pada tahun hadapan. Objektif utama taklimat ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam rekabentuk produk, aplikasi bahan dan gabungan teknik pengeluaran agar memenuhi kehendak pasaran semasa. Disamping memberi pendedahan perkembangan rekaan dan menghayati seni kraf barang kemas perak kontemporari serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Isnin, 28 November 2011

Konvesyen Inovatif Dan Kreatif Peringkat Kementerian

Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah dipilih mewakili Kraftangan Malaysia menyertai Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) peringkat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dari 21 hingga 24 November 2011 bertempat di Jabatan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur. Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan mengenengahkan satu hasil inovasi iaitu mini steamer batik yang lebih jimat, mudah dan mesra alam bagi kegunaan industri batik.

Program Prihatin 1Malaysia

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengadakan pameran korporat dan juga interaktif kraf mewarna batik sempena Program Prihatin 1Malaysia di perkarangan Sekolah Kebangsaan Telaga Ara, Gunong, Bachok pada 20 November 2011 yang lalu. Program ini merupakan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kelantan sempena lawatan kerja YB Dato’Seri Utama Dr Rais Yatim Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ke negeri Kelantan yang telah dirasmikan oleh Y.B.Senator Dato’Dr.Awang Adek Hussein, Timbalan Menteri Kewangan. Seramai 120 pengunjung telah menyertai aktiviti mewarna batik ini yang turut dicuba sendiri oleh Y.B.Senator Dato’Dr.Awang Adek Hussein.

Ahad, 27 November 2011

Lawatan Berpandu Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan

Pada 16 November 2011 yang lalu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan daripada Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Lawatan itu terdiri daripada 39 orang pelajar dan seorang guru pengiring. Tujuan lawatan tersebut diadakan untuk memberi pendedahan dan meluaskan minda kepada pelajar – pelajar tentang seni kraftangan Malaysia terutama di negeri Kelantan. Justeru itu, para pelajar dan guru telah berpeluang melawat bilik pameran kontemporari dan galeri warisan yang terdapat di sini. Pada masa yang sama, mereka juga berpeluang melihat proses penghasilan rekaan batik menggunakan Teknik Imej Fotograpi.

Rabu, 16 November 2011

Interaktif Kraf Berskala Besar

Pada 17 – 18 Oktober 2011, pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan melalui Unit Pasaran & Promosi telah mengadakan aktiviti Interaktif Kraf Berskala Besar bertempat di Pusat Jualan Kraf Bunut Payong. Bagi menjayakan program ini, Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan telah menjemput 4 buah sekolah di sekitar daerah Kota Bharu dan Pasir Puteh iaitu dari Sekolah Menengah Long Gafar, Sekolah Menengah Bukit Jawa, Sekolah Menengan Sultan Ismail dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Peir Cheih. Seramai 470 orang pelajar dan 23 orang guru telah menyertai aktiviti Interaktif Kraf Berskala Besar ini. Kemudiannya Pusat Jualan Kraf Bunut Payong juga telah menerima lawatan pelajar dari Sekolah Seni Johor Bharu, Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu dan Sekolah Menengah Bandar Sri Damansara 2, Kuala Lumpur.

Ahad, 30 Oktober 2011

Bengkel Bimbingan Teknikal (BT) Rekaan Produk Batik Menggunakan Teknik Blok

Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan Bengkel Bimbingan Teknikal (BT) Rekaan Produk Menggunakan Teknik Blok Batik pada 10-13 Oktober 2011 bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dan untuk latihan praktikal selama 3 hari diadakan di bengkel batik usahawan Ayu Fashion, Tumpat. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan-usahawan untuk menghasilkan rekaan produk baru menggunakan teknik batik blok dengan penggunaan skima warna ‘pop art’. Fokus diberikan kepada ‘placing’ produk yang akan dihasilkan. Tenaga pengajar untuk bengkel bimbingan teknikal ini ialah En.Ibrahim Bin Deraman iaitu dari Ayu Fashion. Penyertaan adalah seramai 20 orang dimana terdiri daripada usahawan-usahawan batik Negeri Kelantan, Selangor, Johor, Terengganu, Kedah, dan Perak. Bengkel ini dikendalikan oleh anggota kerja Kraftangan dari ibu pejabat seramai 4 orang dan dibantu oleh anggota kerja PKKM Cawangan Kelantan.Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada usahawan batik terhadap penghasilan kain batik dengan menggunakan teknik blok, dengan memfokuskan kepada cara perletakan rekaan ke atas kain.

Selamat Datang Timbalan dan Pengarah Baru Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan

Kami seluruh warga kakitangan PKKM Cawangan Kelantan mengucapkan selamat datang kepada Encik. Mohd Razis Bin Md Said dari bahagian Pembangunan Usahawan Ibupejabat dan Encik. Juhari Bin Azmi dari bahagian Rekaan Ibu Pejabat yang telah di tukarkan ke cawangan Kelantan berkuatkuasa pada 20 Oktober 2011 yang lalu. Encik. Mohd Razis Bin Md Said telah dilantik sebagai Pengarah manakala Encik Juhari Bin Azmi sebagai Timbalan Pengarah. Sementara itu, bekas Pemangku Pengarah Encik Faizul Azha Bin Ibrahim telah bertukar ke PKKM Cawangan Kedah sebagai Pengarah PKKM Cawangan Kedah. Di ucapkan selamat maju jaya kepada beliau, jasa dan bakti yang dicurahkan tetap akan dikenang.

1) Encik Mohd Razis Bin Md Said - Pengarah PKKM Cawangan Kelantan
2) Encik Juhari Bin Azmi - Timbalan Pengarah (Pereka B44)
3) Encik Faizul Azha Bin Ibrahim - Pengarah PKKM Cawangan Kedah


Isnin, 10 Oktober 2011

Lawatan berpandu dari Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong ke Pusat Jualan Kraf

Bagi mempromosi Pusat Jualan Kraf, Bunut Payong yang baru dibuka kepada masyarakat tempatan, pihak cawangan telah mengadakan aktiviti interaktif kraf mewarna batik dan pasu seramik pada 6 oktober 2011 yang lalu. Pusat Jualan Kraf ini telah menerima lawatan berpandu dari Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong, Kelantan seramai 100 orang pelajar dan 5 orang guru pengiring. Para pelajar diberi penerangan awal oleh pegawai cawangan sebelum dibenarkan mencuba mewarna produk tersebut mengikut kreativiti masing-masing. Setiap peserta dibenarkan membawa pulang produk ini sebagai tanda cenderahati daripada pihak PKKM kerana sudi mengunjung ke Pusat Jualan Kraf. Dalam masa yang sama para peserta juga turut berkesempatan untuk membeli produk kraf yang terdapat di sini.

Pertandingan Produk Kraftangan semperna Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan 2011

PKKM Cawangan Kelantan telah mendaftar 3 usahawan kraf dalam Pertandingan Produk Kraftangan semperna Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan 2011. Usahawan Kraftangan Malaysia telah berjaya memenangi 2 kategori dari 6 kategori yang dipertandingkan, iaitu kategori buluh & rotan dan lain-lain produk (lampu dinding). Produk-produk kraf yang menang telah dipamerkan di Ekspo Pertanian anjuran Jabatan Pertanian Negeri Kelantan pada 30 september 2011 yang lalu bertempat di Perkarangan Stadium Sultan Mohammed Ke IV. Pada ekspo tersebut juga Kraftangan Malaysia turut mengadakan aktiviti pendidikan kraf mewarna batik dan pasu seramik.

Lawatan Berpandu dari Sekolah Kebangsaan Kor, Kota Bharu

Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan berpandu dari Sekolah Kebangsaan Kor, Kota Bharu pada 29 September 2011 yang lalu. Lawatan ini terdiri daripada 93 orang murid tahun enam dan 9 orang guru pengiring. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendapat maklumat tentang perkembangan kraftangan khususnya di negeri Kelantan, memberi pendedahan kepada para pelajar bagaimana proses penghasilan kraftangan dihasilkan, disamping mewujudkan hubungan dua hala antara pihak sekolah Kebangsaan Kor dengan PKKM Cawangan Kelantan. Dalam lawatan selama 2 jam ini, para pelajar dan guru berpeluang untuk melawat bilik pameran produk kraf, bilik pameran kempotarari dan galeri warisan. Disamping itu, para pelawat juga turut berpeluang mendalami proses pembuatan batik yang dihasilkan oleh bekas pelatih dari Institut Kraf Negara.

Karnival Seni Visual, Muzik dan Kokurikulum

Pada 25 & 26 September 2011, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengadakan program interaktif kraf dan jualan buku kraf semperna Karnival Seni Visual, Muzik dan Kokurikulum anjuran Institut Perguruan Guru Kampus Kota Bharu. Karnival ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Datuk Dr.Hj. Haili bin Dolhan, Rektor IPG KPM. Perbadanan turut mengadakan demostrasi pembuatan produk kraf seramik dan logam yang menjadi tarikan utama para pengunjung.

Selasa, 4 Oktober 2011

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2011

Pada 27 September 2011, bersamaan 29 Syawal 1432H bertempat di Dewan Kasturi Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah diadakan Majlis Sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri 2011. Diharap dengan majlis yang serba ringkas tetapi meriah ini dapat mengeratkan lagi hubungan dikalangan kakitangan dan juga usahawan agar semakin erat bekerjasama meningkatkan industri kraf.

Khamis, 22 September 2011

Karnival Rakyat dan Transformasi Halal Kelantan 2011

Bermula 15 hingga 17 September 2011 lalu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengadakan pameran korporat bertempat di MRSM Jeli, Kelantan sempena Karnival Rakyat dan Transformasi Halal Kelantan 2011. Karnival yang berlangsung selama dua hari ini merupakan anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri Bahagian Pembangunan Keusahawanan yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Lebih kurang 700 orang telah mengujungi booth pameran Kraftangan Malaysia yang mempamerkan informasi perkhidmatan Perbadanan serta jualan dan pameran produk – produk kraf tempatan.

Sabtu, 10 September 2011

Taklimat Proses Rawatan Sisa Batik kepada Unit Pembangunan dan Kerjaya Kolej PTPL Kota Bharu

Pada 21 Ogos 2011, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan berpandu daripada Unit Pembangunan dan Kerjaya Kolej PTPL Kota Bharu. Lawatan tersebut disertai oleh 30 orang pelajar daripada kursus Diploma Teknologi Makmal Perubatan dan diiringi oleh dua orang guru pengiring. Tujuan lawatan itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar – pelajar tentang proses rawatan sisa industri khususnya batik selain memberi pendedahan tentang Industry Kraf Negara.

Isnin, 22 Ogos 2011

Lawatan berpandu pelajar Sek. Keb Tok Uban Pasir Mas, Kelantan

Pada 25 Julai 2011 yang lalu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan berpandu dari Sekolah Kebangsaan Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan. Lawatan tersebut adalah bertujuan untuk memperkenalkan para pelajar terhadap hasil-hasil kraftangan yang terkenal di negeri kelantan disamping menambah pengetahuan dan menghargai hasil seni kraf negara. Lawatan telah ini disertai seramai 117 orang murid beserta 3 orang guru pengiring.

Selasa, 26 Julai 2011

Lawatan Kerja Malaysia-German of Commerce and Industry (MGCC) ke Cawangan Kelantan

Pada 26 – 28 Julai 2011, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan kerja dari Malaysia-German of Commerce and Industry (MGCC). Lawatan kerja ini dibuat susulan daripada perbincangan pihak MGCC dengan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Kraftangan Malaysia dan UPEN Negeri Kelantan pada 15 Jun 2011 tempoh hari di Putrajaya berkenaan penerapan Konsep Pengeluaran Bersih (Cleaner Production) di dalam industri batik. Fokus utama lawatan ini adalah untuk pihak MGCC melihat sendiri dan mengumpul maklumat berkenaan sistem operasi pengeluaran batik di Kelantan. Pihak MGCC telah dibawa melawat ke kilang-kilang batik terpilih di negeri Kelantan.

Kursus Pencegahan dan Keselamatan Kebakaran

Pada 26 Julai 2011, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan Kursus Pencegahan dan Keselamatan Kebakaran yang telah dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Kota Darulnaim. Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada anggota kerja tentang pencegahan dan keselamatan kebakaran di bangunan, bagaimana menggunakan alat pemadan api mudah alih yang sediada dibangunan dan kaedah menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran.

Ahad, 24 Julai 2011

Senam Robik Julai 2011

Pada 8.30 pagi 24 Julai 2011, Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan acara senamrobik untuk semua warga PKKM Cawangan Kelantan. Aktiviti senamrobik ini telah diadakan di gelanggang bola tampar dibimbing oleh jurulatih Pn Mardiana dari Persatuan Senam Robik Negeri Kelantan.

Perlawanan Bola Sepak Persahabatan

KUBANG KERIAN, 23 Julai 2011 : Kelab Sukan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan satu perlawanan persahabatan menentang Wakaf baru FC yang berlangsung di Padang Bolasepak USM, Kubang Kerian. Semoga dengan aktiviti sihat seumpama ini akan mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan Kraftangan Malaysia dengan masyarakat setempat.

Rabu, 20 Julai 2011

Pusat Jualan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan

Pusat Jualan Kraf di Lot 1481, KM 3.6, Bunut Payong, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu merupakan pusat jualan pertama yang diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Ini memberi ruang kepada pengusaha dan penggiat seni kraf tempatan terutama di Kelantan untuk mempromosikan hasil produk mereka. Di samping dapat menggalakkan masyarakat menggunakan produk – produk hasil keluaran tempatan. Pusat Jualan ini juga, bakal dipenuhi dengan pengisian aktiviti utama seperti jualan, pameran, demonstrasi dan interaktif kraf tempatan. Tempat ini turut dimeriahkan dengan aktiviti sokongan berkaitan kraf seperti persembahan kesenian, aktiviti lawatan berpandu berkumpulan dan sebagainya. Pusat ini sudahpun dibuka dan telah menerima kunjungan dari orang ramai, malah turut menerima kunjungan dari ahli JKKK Felda Jengka 3 Pahang.

Isnin, 18 Julai 2011

HARI BERTEMU PELANGGAN KRAFTANGAN MALAYSIA 2011

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia 2011 serentak di seluruh cawangannya pada 12 Julai 2011. Di PKKM Cawangan Kelantan, Kira-kira 92 orang tetamu telah hadir untuk menjayakan program ini. Program ini dimulakan dengan taklimat korporat mengenai latar belakang dan peranan Kraftangan Malaysia yang telah disampaikan oleh Pengarah PKKM Cawangan Kelantan, Encik Faizul Bin Ibrahim dan disusuli dengan sesi dialog bersama usahawan yang hadir. Pada Hari Bertemu Pelanggan ini juga, 5 kaunter pelanggan turut dibuka kepada tetamu iaitu, kaunter Unit Promosi dan Pemuliharaan Kraf, Unit Teknikal, Pembangunan Rekaan, Pembangunan Usahawan dan Pentadbiran & Pengurusan.

Isnin, 11 Julai 2011

Program Karnival Pengajian Tinggi Pantai Timur 2011

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah mengadakan pameran korporat, interaktif kraf, jualan buku-buku kraf dan jualan produk kraf sempena Program Karnival Pengajian Tinggi Pantai Timur 2011 bertempat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri. Program ini bermula pada 30 jun sehingga 2 julai 2011 telah dirasmikan oleh YB Dato’ Saifuddin Bin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Aktiviti Interaktif Kraf mewarna batik dijalankan dalam 4 sesi sehari telah disertai seramai 360 orang peserta terdiri daripada para graduan dan kakitangan Universiti Malaya Kampus Nilam Puri, pelajar-pelajar sekolah, disamping para pengujung yang mengujungi tapak pameran tersebut.

Program Komuniti 1 Malaysia Bertempat di Taman Tengku Anis, Kota Bharu

Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengambil bahagian dalam Program Komuniti 1 Malaysia peringkat negeri Kelantan 2011 yang bertempat di Taman Perbandaran Tengku Anis pada 9 Julai 2011 (Sabtu), jam 9 pagi hingga 6 petang. Program ini merupakan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kelantan yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Hj. Mohamad Fatmi Che Salleh, Setiausaha Politik Perdana Menteri. Pada program ini, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengadakan pameran korporat dan interaktif mewarna batik. Seramai lebih kurang 60 orang menyertai aktiviti mewarna ini. Disamping itu Pemuliharaan kraf juga turut mengadakan jualan buku-buku berkaitan dengan kraf bagi memenuhi aktiviti tersebut.

Selasa, 5 Julai 2011

HARI BERTEMU PELANGGAN 2011 KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN KELANTAN

Tarikh : 12 Julai 2011 (Selasa)
Masa : 10 pagi - 5 petang
Tempat : Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Cawangan Kelantan





HARI BERTEMU PELANGGAN KRAFTANGAN MALAYSIA PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2011

Dimaklumkan bahawa Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia yang akan diadakan pada 12 Julai 2011 bermula dari jam 10 pagi hingga 5.00 petang. Program ini diadakan adalah bertujuan untuk:
  • Mendapatkan maklumbalas pengguna iaitu kraf berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia;
  • Mendapatkan cadangan bagi mengambil langkah-langkah penambahbaikan serta peningkatan mutu perkhidmatan Kraftangan Malaysia; dan
  • Untuk mengetahui dan mengukur keberkesanan perkhidmatan Kraftangan Malaysia kepada kumpulan sasar.
Aktiviti-aktiviti yang akan diadakan adalah seperti berikut :

1. Taklimat Korporat oleh Pengarah Negeri
2. Sesi Dialog bersama Usahawan Kraf
3. Kaunter Helpdesk
4. Kempen Penggunaan Laman Web Kraftangan Malaysia
5. Pengisian Borang Soal Selidik oleh Usahawan


Sehubungan itu, tuan/puan adalah dijemput hadir untuk memeriahkan Program Hari Bertemu Pelanggan 2011 yang akan diadakan ini.

Isnin, 27 Jun 2011

Senamrobik Jun 2011

Pada 8.30 pagi 26 Jun 2011, Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan mengadakan aktiviti senam robik untuk semua warga PKKM Cawangan Kelantan. Semua kakitangan dan pelajar praktikal turut sama bersenam robik yang diadakan di gelanggang bola tampar dibimbing oleh jurulatih Pn Mardiana dan Pn Emma dari Persatuan Senam Robik Negeri Kelantan.

Isnin, 20 Jun 2011

Majlis Pelancaran Logo Sambutan 100 Tahun Batik Malaysia

   "Bangunkan produk memenuhi citarasa terkini pengguna agar lebih berdaya saing di pasaran global." Itu gesaan kepada semua pengusaha batik selain saranan tidak menggenakan harga tinggi terhadap produk mereka terutama sewaktu mengadakan promosi. Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali sewaktu merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pembatek Kelantan ke 38 dan Pelancaran Logo Sambutan Batik, 100 Tahun Malaysia berkata, pengusaha batik harus melakukan pembaharuan corak, warna dan rekaan agar batik keluaran mereka lebih menarik dan diterima pembeli. Mereka juga tidak harus terlalu bergantung kepada pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan produk mereka. Majlis pelancaran berlangsung di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan pada 16 Jun 2011 yang lalu.
   Dengan usia Industri Batik Kelantan yang telah mencecah 100 tahun, jumlah jualan batik tahun ini disasar mencapai RM150 juta, berbanding capaian jualan RM138 juta sepanjang 2009. Menurutnya, sambutan 100 tahun batek Kelantan November depan dijangka dirasmikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim. Sambutan bertemakan, Inovasi Batik 100 Tahun Menjana Inspirasi Keusahawanan, bakal mengumpulkan lebih 100 pengusaha batik dan antara pengisiannya ialah pameran sejarah dan batik kontemporari, gerai jualan dan sebagainya.

Ahad, 19 Jun 2011

Majlis Jasa Mu Dikenang, Sempena Persaraan En Khamis

Pada 16 Jun 2011 lalu, telah diadakan Majlis sempena persaraan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Encik Khamis Bin Yasim. Pada majlis tersebut, Yang Berbahagia Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Encik Mohd. Kamil Mohd. Ali turut hadir menyampaikan hadiah beserta kepada sumbangan Encik Khamis. Majlis ini sebenarnya merupakan kali kedua diadakan, setelah pertama kali diadakan pada 26 Mei 2011 yang lalu diperingkat cawangan. Beliau akan mula bersara pada 18 Jun 2011, telah berkhidmat selama 31 tahun dengan Perbadanan ini. Selama tempoh tersebut, beliau telah banyak menabur bakti kepada perkembangan Perbadanan Kraftangan Malaysia. Jutaan Terima Kasih diucapkan. Jasa Mu Dikenang.

Khamis, 16 Jun 2011

Lawatan Kerja Timbalan Ketua Pengarah Operasi

Pada 15 Jun 2011 lalu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, En Ramli Bin Mohd Noor bersama Pengarah Khidmat Pengurusan, En Mohd Mokhtar Bin Lop Ahmad dari Ibu Pejabat telah mengadakan lawatan kerja ke Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Dalam lawatan kerja tersebut, En Ramli dan En Mohd Mokhtar telah menyampaikan beberapa amanat penting kepada semua kakitangan Cawangan Kelantan agar terus memperkasakan fungsi Kraftangan Malaysia khususnya Cawangan Kelantan bagi memajukan lagi industri kraftangan di Malaysia.

Rabu, 8 Jun 2011

Penyerahan Bengkel Kraf di Kampung Sangwai, Post Brooke, Daerah Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Pada 1 Jun 2011, Pengarah Kraftangan Cawangan Kelantan, Encik Khamis Bin Yasim telah menyerahkan secara rasmi Bengkel Kraf bantuan Kraftangan Malaysia kepada Tok Batin, Encik Bidi Bin Ronggeng, di Kampung Sangwai, Post Brooke, Daerah Lojing, Gua Musang, Kelantan. Bengkel ini merupakan bantuan Kraftangan Malaysia kepada penduduk Kampung Sangwai dan telah mula dibina pada 11 April 2011.

Isnin, 23 Mei 2011

Perlawanan Persahabatan Futsal Menentang Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara

KOTA BHARU, 21 Mei 2011: Bagi mengeratkan lagi kerjasama antara Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan dengan Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN), satu perlawanan persahabatan telah diadakan bertempat di gelanggan Kota United Futsal, Pintu Geng. Semoga dengan aktiviti ini akan mengeratkan hubungan antara Kraftangan Malaysia dengan LKTN yang sedia terjalin bagi meningkatkan lagi ruang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan.

Khamis, 19 Mei 2011

Penyerahan Bilik Ruang Jualan Kraf Untuk Koperasi Serbaguna Pembatek Kelantan

Kraftangan Malaysia telah memberikan bantuan Bilik Ruang Jualan Kraf kepada Koperasi Serbaguna Pembatek Kelantan Berhad.Bilik Ruang Jualan ini telah siap dibina pada 5 April 2011 dan pada 6 April 2011 Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, En Khamis Bin Yasim telah menyerahkan kunci kepada En. Kamarozzaman Bin. Salleh, Pengerusi Koperasi Serbaguna Pembatek Kelantan Berhad.

Ahad, 8 Mei 2011

Hari Keluarga Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan 2011

Pada 6-7 Mei 2011 yang lalu, Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan Hari Keluarga 2011 bertempat di Pulau Perhentian Besar Teluk Dalam, Kuala Besut, Terengganu. Program bermula pada pagi 6 Mei 2011, semua ahli keluarga yang seramai 86 orang berkumpul di pejabat dan berkonvoi beramai-ramai ke jeti Kuala Besut, Terengganu. Perjalanan menaiki bot dari jeti ke Pulau Perhentian mengambil masa selama 45 minit. Pada sebelah petang diadakan aktiviti sukaneka untuk semua keluarga dan pada sebelah malamnya pula diadakan majlis makan malam (BBQ). Sempena Hari Keluarga yang telah diadakan ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sesama anggota kerja Kraftangan Cawangan Kelantan.

Sabtu, 30 April 2011

Bengkel Bimbingan Teknikal Sculpturing dalam Pembuatan Paten

Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menganjurkan Bengkel Bimbingan Teknikal Teknik Sclupturing Dalam Pembuatan Paten pada 25-29 April 2011 yang lalu bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Penyertaan adalah seramai 15 orang dimana terdiri daripada usahawan-usahawan pertukangan perak di Negeri Kelantan dan anggota kerja Kraftangan Cawangan Kelantan. Bengkel ini dikendalikan oleh Encik Mohmad Mahadzir Bin Haji Aboo Hassan dari syarikat Key Two Communications Sdn. Bhd dari Selangor. ‘Sculpturing’ adalah satu proses awalan penghasilan paten / pola dalam pengeluaran produk logam secara manual. Ia adalah satu proses menterjemahkan rekaan secara terus dari lakaran kepada bahan kerja berbentuk ‘relief’ dan 3 dimensi dengan bantuan alatan tangan yang murah dan mudah digunakan. Objektif bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan, pemahaman dan kebolehan kepada pengusaha agar dapat mengaplikasikan teknik ‘sculpturing’ sebagai alternative kepada kos penghasilan ‘pattern’ menggunakan kaedah ICT yang tinggi.

Program Gemilang Siswa 1Malayasia di IKBN

Jabatan Penerangan Negeri Kelantan telah menganjurkan program Gemilang Siswa Peringkat Negeri Kelantan pada 29 April 2011 lalu, bermula jam 8 pagi sehingga 4 petang bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bachok Kelantan. Program ini bertujuan untuk mendekati dan memberi pemahaman kepada mahasiswa berhubung dengan dasar-dasar kerajaan khasnya gagasan 1 Malaysia. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah berpeluang menyertai program ini dengan mengadakan pameran korporat dan interaktif batik. Seramai lebih kurang 100 orang pengunjung telah menyertai aktiviti mewarna batik ini. Di samping itu, turut diadakan jualan buku-buku Kraf dan juga jualan daripada usahawan kraf tempatan dari bidang Aneka Kraf.

Khamis, 28 April 2011

Bengkel Latihan Hand-On HRMIS

Pada 25 April 2011, seramai empat pegawai dari Bahagian Khidmat Pengurusan yang diketuai oleh Penolong Pengarah (Unit Pengurusan Sumber Manusia) iaitu Encik Syardi Bin Mohammad telah hadir untuk memberi satu sesi Bengkel Latihan Hand-on HRMIS Modul Cuti dan SKT-LNPT. Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan penerangan dengan lebih jelas kepada anggota-anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan mengenai sistem ini. Penggunaan sistem HRMIS ini sangat ditekankan memandangkan ia merupakan KPI Kementerian Kepada Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia. Diharap sesi latihan ini dapat meningkatkan kemahiran kakitangan mengunakan sistem HRMIS ini.

Isnin, 18 April 2011

Al-Fatihah



Warga Kerja Kraftangan Malaysia mengucapkan salam takziah di atas pemergian ibu tercinta Cik Sakirah Haji Halim kakitangan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan pada Isnin, 18 April 2011.
....Amin....

Ahad, 10 April 2011

Lawatan Dari Sekolah Kebangsaan Jelor, Pasir Puteh, Kelantan

Pada 31 Mac 2011 yang lalu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan berpandu dari Sekolah Kebangsaan Jelor, Pasir Puteh, Kelantan. Lawatan tersebut adalah bertujuan untuk memperkenalkan para pelajar terhadap hasil-hasil kraftangan yang terkenal di negeri kelantan disamping menambah pengetahuan dan menghargai hasil seni kraf negara. Lawatan telah ini disertai seramai 45 orang murid beserta guru pengiring.

Komuniti 1 Malaysia Jeli 2011

Jabatan Penerangan Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Komuniti 1 Malaysia peringkat negeri Kelantan 2011 yang bertempat di Pekan Ayer Lanas, Jeli pada 9 April 2011 (Sabtu), jam 8 pagi hingga 6 petang. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang diadakan bertujuan untuk menyampaikan maklumat dan perkhidmatan secara langsung oleh jabatan dan agensi kerajaan kepada masyarakat tempatan. Dengan itu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah mengambil bahagian mengadakan pameran korporat dan interaktif mewarna batik. Seramai lebih kurang 100 orang menyertai aktiviti mewarna ini. Disamping itu Pemuliharaan kraf juga turut mengadakan jualan buku-buku berkaitan dengan kraf bagi memenuhi aktiviti tersebut.

Rabu, 6 April 2011

Majlis Perasmian Penyerahan Bengkel Kraf Atap Singhora

Pada 26 March 2011 lalu, telah diadakan Majlis Perasmian Penyerahan Bengkel Kraf kepada Usahawan Atap Singhora iaitu Encik Mohd Adik Bin Jusoh di Mukim Pak Pura, Daerah Bachok, Kelantan. Majlis Penyerahan ini telah disempurnakan sendiri oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Encik Mohd. Kamil Mohd. Ali. Bengkel Pengeluaran ini yang berkeluasan 10.2m x 22.1m mula dibina pada 30 Disember 2010.

Selasa, 5 April 2011

Pameran Blau Dan Belian – Menyemarakkan Sumpitan Peribumi di UMK

Pada 04 – 05 April 2011 yang lalu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah dijemput oleh Universiti Malaysia Kelantan untuk mengadakan pameran korporat dan aktiviti interaktif kraf mewarna batik sempena Pameran ‘Blau Dan Belian – Menyemarakkan Sumpitan Peribumi’. Seramai 100 pelajar serta telah menyertai aktiviti interaktif tersebut. Disamping itu, unit Pemuliharaan Kraf telah membuat jualan buku-buku terbitan Kraftangan Malaysia bagi memenuhi aktiviti tersebut.

Jumaat, 1 April 2011

Lawatan Dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenak, Pasir Mas, Kelantan

Pada 31 Mac 2011 yang lalu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima lawatan berpandu dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenak, Pasir Mas, Kelantan. Lawatan tersebut adalah bertujuan untuk membuka minda dan menambahkan pengalaman pelajar-pelajar sekolah. Lawatan telah disertai seramai 106 orang murid berserta guru pengiring.

Khamis, 24 Mac 2011

Ceramah Pencegahan Rasuah

Pada 20 March 2011 lalu, satu sesi ceramah pencegahan rasuah yang bertajuk "Kesalahan rasuah, penyelewengan & salahguna kuasa di kalangan penjawat awam dan punca serta kesan rasuah" telah di adakan di dewan kasturi Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. Pihak perbadanan telah menjemput penceramah dari Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Encik Muhamad Bin Zakaria, ketua Unit Pendidikan Masyarakat.

Isnin, 21 Mac 2011

Kenaikan Pangkat dan Kakitangan Baru Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan

Tahniah diucapkan kepada En. Halim Bin Yusoff diatas kenaikan pangkat dan semoga dengan kenaikan pangkat ini dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Cawangan Kelantan ke arah yang lebih cemerlang.
Nama: Halim Bin Yusoff
Bahagian / Unit: Bahagian Usahawan
Jawatan / Gred Sedia Ada: Pengajar Kraf (E17)
Jawatan / Gred Baru: Pengajar Kraf Kanan (E22)
Tarikh Lantikan: 1 Januari 2011

Sementara itu, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan juga telah menerima anggota kerja baru iaitu Cik Aida Binti Mat Zin yang ditempatkan di Unit Pasaran dan Promosi. Selamat datang dan semoga bersama-sama meningkatkan mutu perkhidmatan Cawangan Kelantan.

Nama: Aida Binti Mat Zin
Bahagian / Unit: Bahagian Pasaran dan Promosi
Jawatan / Gred :Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi (E27)
Tarikh Lantikan:1 March 2011

Khamis, 17 Mac 2011

Lawatan Loji Rawatan Sisa Batik Pelajar UMK

Pada 17 March 2011, Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan telah menerima seramai 30 pelajar dari jurusan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) Universiti Malaysia Kelantan untuk melihat proses rawatan sisa batik yang terdapat di cawangan ini. Lawatan ini diketuai oleh Dr. Wong Yee Ching manakala penerangan berkaitan dengan loji tersebut disampaikan oleh En. Muhammad Nasruddin Bin Mustaffa Kamal dari Unit Teknikal Cawangan Kelantan.

Gotong Royong March 2011

Pada 17 March 2011 lalu, telah diadakan program gotong royong menceriakan kawasan persekitaran pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan.